ALOR SETAR: Hasil padi di beberapa kawasan utama negara dilaporkan merosot sehingga 60 peratus susulan faktor cuaca panas melampau mencecah 37 sehingga 40 darjah Celsius sejak dua minggu lalu.
Keadaan tersebut menyebabkan banyak padi yang dituai tidak berisi, selain kekurangan bekalan air akibat kemarau berpanjangan, malah pesawah dijangka terpaksa menangguhkan musim penanaman baharu yang sepatutnya bermula April ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kemerosotan itu boleh berlaku apabila suhu terlalu tinggi sehingga mengganggu proses penting dalam pembentukan hasil padi.
Katanya, suhu ekstrem terutama melebihi 40 darjah Celsius boleh menjejaskan proses pendebungaan sehingga menyebabkan pengisian padi tidak sempurna.
Beliau berkata, kemarau turut memberi kesan besar kepada bekalan air apabila sumber utama seperti hujan dan simpanan empangan semakin berkurangan.
“Ketika ini paras takungan di Empangan Muda berada pada tahap rendah iaitu 7.64 peratus atau 9,550 ekar kaki berikutan ketiadaan hujan di kawasan tadahan yang mana keadaan ini perlu diberi perhatian serius.
“Apabila kemarau, air hujan tiada, air empangan pun berkurang dan ini memberi kesan langsung kepada bekalan air untuk pengairan padi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, bekalan yang ada ketika ini hanya mencukupi untuk dilepaskan ke Loji Rawatan Air (LRA) bagi kegunaan domestik dan industri yang menyebabkan air tidak dapat disalurkan ke kawasan sawah seperti biasa.
“Berkemungkinan pesawah terpaksa menggunakan kaedah tabur terus kering (TTK) untuk meneruskan penanaman musim satu 2026 yang dijangka bermula April ini.
“Kaedah ini dilakukan dengan cara membajak tanah, menabur benih padi dan memadatkan tanah sebelum menunggu hujan atau embun untuk percambahan,” katanya.
Bagaimanapun, Dr. Ismail berkata, kaedah itu akan turut menyebabkan pertumbuhan padi bercampur dengan rumpai dan padi angin, selain meningkatkan risiko serangan perosak seperti tikus serta penyakit tanaman.
Ujarnya, walaupun kaedah itu bukan pilihan terbaik, ia terpaksa dilaksanakan kerana tiada alternatif lain dalam keadaan bekalan air yang terhad.
“Memang hasil akan rendah, tetapi kita tiada pilihan kerana tidak boleh tunggu tanpa menanam. Namun, sekiranya hujan dan paras empangan kembali pulih, MADA akan lepaskan air untuk pertanian seperti biasa,” katanya.
Sementara itu di Perlis, tinjauan mendapati kesan kemarau menyaksikan kira-kira 14.39 hektar sawah padi di Sungai Batu Pahat, Kangar tidak menjadi berikutan masalah kekurangan bekalan air sejak hujung tahun lalu.
Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 63, berkata, sekitar 70 peratus kawasan tanaman padi di Perlis ketika ini sudah menuai namun kebanyakkan tidak mempunyai isi.
Katanya, keadaan itu menyebabkan hasil padi musim ini merosot sehingga 60 peratus dan memberi kesan kepada pendapatan pesawah. – UTUSAN










