PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mati akibat rabies atau penyakit anjing gila di Kuching, Sarawak.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak memaklumkan, kanak-kanak berkenaan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 18 Mac lalu.
Katanya, mangsa mempunyai sejarah digigit anjing liar pada 11 Februari lalu, namun kanak-kanak itu hanya mencuci luka dan tidak mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa mula menunjukkan gejala seperti kurang selera makan, muntah dan hidrofobia pada 11 Mac lalu. Dia kemudian dibawa ke sebuah klinik pada 13 Mac seterusnya dirujuk ke HUS hari yang sama,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
JKN Sarawak berkata, ujian makmal mengesahkan mangsa dijangkiti rabies sebelum meninggal dunia 18 Mac lalu, sekali gus menjadikan jumlah kes rabies di Sarawak tahun ini kepada tiga.
Sehingga kini, sebanyak 93 kes rabies kalangan manusia dikesan sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017 dengan 86 daripada jumlah itu membabitkan kematian. – UTUSAN










