PETALING JAYA: Pendekatan berhemah dalam perbelanjaan awam adalah penting bagi memastikan sumber negara diurus secara cekap dan berkesan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, perkara itu terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas Seri Paduka Baginda dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi dan keselamatan negara.
Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim, pertemuan bersama Seri Paduka Baginda itu berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum langkah berjimat yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara.
Selain itu, taklimat menyentuh aspek keselamatan negara meliputi keselamatan dalam negeri, kawalan sempadan serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan.
Sesi taklimat berkenaan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap perkembangan semasa negara.-UTUSAN










