GEORGE TOWN: Bekalan air di Pulau Pinang dijangka stabil sepanjang April dan Mei jika tiada lagi pelepasan air dalam jumlah yang besar dibuat dari Sungai Muda di Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, situasi semasa menunjukkan, sumber air mentah dari Sungai Muda masa ini masih mencukupi untuk tempoh kira-kira dua bulan.
“Untuk rekod, dua empangan utama di Kedah iaitu Empangan Muda dan Empangan Beris mencatat penyusutan ketara sejak awal tahun ini. Setakat 28 Mac 2026 (kelmarin), kapasiti Empangan Muda berada pada paras kritikal 7.19 peratus manakala Empangan Beris pada tahap 58.06 peratus,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, Empangan Muda tidak lagi mampu melepaskan air tambahan ke Sungai Muda selepas mengalami penurunan mendadak akibat pelepasan bagi tujuan pengairan tanaman padi.
Pada masa yang sama katanya, Empangan Beris pula menunjukkan kadar penyusutan purata sebanyak 0.56 peratus sehari dan dijangka mencapai paras kritikal sekitar pertengahan atau akhir Jun ini jika trend semasa berterusan.
Katanya, ketika ini juga, Sungai Muda kekal sumber utama bekalan air mentah kepada Pulau Pinang yang turut dikongsi dengan Kedah.
“Secara puratanya, PBAPP mengabstrak kira-kira 1,000 juta liter sehari air mentah dari sungai tersebut untuk dirawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua dan air terawat ini kemudian dibekalkan kepada kira-kira 465,000 pengguna di seluruh negeri termasuk di Seberang Perai dan bahagian pulau,” katanya.
Jelas Pathmanathan, PBAPP telah mengaktifkan Pelan Kontingensi Sungai Muda 2026 bagi memastikan kesinambungan bekalan air, termasuk meningkatkan pengabstrakan air mentah dan pelepasan strategik dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan.
“Program Double Dam Defence turut dilaksana dengan mengepam air terawat ke bahagian pulau bagi memastikan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang tidak kering.
“Bagaimanapun, pelan tersebut bukan penyelesaian menyeluruh kerana kapasiti pelepasan maksimum Empangan Mengkuang masih tidak mencukupi berbanding keperluan operasi loji rawatan air,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, status empangan di Pulau Pinang masih terkawal dengan Empangan Air Itam berada pada paras 69.38 peratus, Empangan Teluk Bahang 84.05 peratus dan Empangan Mengkuang Diperbesarkan 91.24 peratus setakat 28 Mac lalu. –UTUSAN










