9,497 warga asing ditahan dalam tiga bulan 

9,497 warga asing ditahan dalam tiga bulan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 9,497 warganegara asing ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam tempoh tiga bulan tahun ini atas kesalahan pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk masuk sebagai pelancong.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ia melalui daripada 2,618 operasi yang dilaksanakan di seluruh negara. 

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan ini, seramai 1,158 individu ditahan bagi kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas. 

“Kebanyakan daripada mereka didapati menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan, khususnya membabitkan Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Lawatan Sosial bagi tujuan menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syarat pas yang dikeluarkan. 

“Lima warganegara tertinggi yang ditahan bagi kesalahan melanggar syarat pas adalah Bangladesh seramai 532 orang, diikuti Thailand (248 orang), Indonesia (111 orang), China (86 orang) dan Pakistan (51 orang).

“Seterusnya, daripada 1,158 tangkapan ini, 482 individu ditangkap atas kesalahan menyalahguna Pas Lawatan Sosial meliputi 235 orang warganegara Thailand, 83 orang warganegara Bangladesh, 62 orang warganegara China, 62 warga Indonesia, 13 orang warganegara Pakistan, dan 27 orang lain-lain warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka terlibat secara aktif dalam pengurusan dan pengendalian premis perniagaan tanpa kebenaran yang sah. 

“Perbuatan terbabit adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat-syarat pas yang ditetapkan.

“Kita menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara,” katanya.

Beliau berkata, individu yang didapati melanggar undang-undang imigresen boleh dikenakan tindakan termasuk penahanan, pendakwaan serta pengusiran dari Malaysia. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti warga asing yang menjalankan perniagaan secara tidak sah digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada JIM bagi membantu usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×