PETALING JAYA: Kira-kira 60 peratus atau 209 pegawai farmasi kontrak meninggalkan Kementerian Kesihatan kerana terpaksa menunggu lama untuk diserapkan sebagai jawatan tetap.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam berkata, sebelum ini terdapat seramai 352 calon simpanan pegawai farmasi yang masih menunggu tawaran pelantikan tetap, manakala hanya 143 orang sahaja yang masih bertahan
“Angka ini jelas menunjukkan berlakunya ‘brain drain’ atau penghijrahan bakat yang serius ke sektor swasta akibat ketidakpastian masa depan dalam perkhidmatan awam.
“Kita tidak boleh membiarkan kepakaran yang telah dilatih dengan belanja yang besar ini hilang begitu sahaja hanya disebabkan oleh kerenah birokrasi atau kelewatan proses pelantikan.
“Jika langkah segera tidak diambil untuk menyerap baki 143 orang Pegawai Farmasi tersebut ke jawatan tetap, Kementerian Kesihatan berisiko kehilangan lebih banyak tenaga kerja mahir dalam tempoh yang singkat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini,
Dalam pada itu, Dr. Lingeshwaran menggesa Kementerian Kesihatan untuk meneliti semula proses pelantikan agar lebih proaktif dan pantas dan memberikan jaminan masa depan yang lebih jelas kepada 143 pegawai yang bakal tamat kontrak pada April ini bagi memastikan mereka terus kekal berkhidmat dengan KKM.
“Kita tidak boleh terus menggunakan model tunggu ada kekosongan baru lantik sekiranya ia mengakibatkan kita kehilangan bakat-bakat terbaik ke sektor swasta.
“Kerana kehilangan mereka akan menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN










