PETALING JAYA: Kira-kira 3,000 sukarelawan dari seluruh dunia menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) bagi menghantar bantuan ke Palestin yang dijadual bermula pada 12 April ini.
Pegawai Strategik Sumud Nusantara, Haikal Luqman Zulkefli berkata, hampir 150 kapal akan belayar secara serentak dalam misi berkenaan yang bermula dari Itali sebelum singgah ke beberapa negara.
Katanya, persediaan misi itu kini mencapai tahap 85 peratus dan tetap diteruskan walaupun berdepan konflik perang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel.
“Malah pihak penganjur mengambil pendekatan untuk tidak melengah-lengahkan pelayaran bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan mengikut perancangan asal walaupun berdepan konflik Asia Barat.
“Kini hanya penyelarasan peringkat akhir di peringkat serantau sedang giat dijalankan serta tarikh pelayaran kekal seperti yang dirancang.
“Memandangkan persiapan di peringkat global sudah dibuat awal, kesiapsiagaan kami bagi misi ini mencapai 85 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, GSF 2.0 menekankan penglibatan peserta yang mempunyai kepakaran tertentu bagi memastikan misi lebih berimpak tinggi berbanding pelayaran sebelum ini.
“Secara keseluruhan, GSF 2.0 menyasarkan sekitar 3,000 peserta dengan lebih 100 kapal akan belayar, malah penglibatan kru kapal, petugas perubatan dan guru diambil kira agar misi kali ini lebih berkesan,” katanya.
Tambahnya, peserta yang terpilih dijangka berkumpul di pelabuhan yang ditetapkan di Itali seminggu sebelum tarikh pelayaran bagi menjalani latihan persiapan terakhir.
Sementara itu, pelatih peserta GSF 2.0, Iylia Balqis yang juga bekas peserta GSF 1.0 berkata, latihan intensif telah bermula sejak awal Mac termasuk simulasi pelayaran atau “fake sailing” bagi membiasakan peserta dengan keadaan sebenar di laut.
“Latihan tambahan turut dijalankan bagi peserta Muslim untuk memudahkan pelaksanaan ibadah seperti solat, mengambil wuduk serta menentukan arah kiblat semasa berada di atas kapal,” katanya. – UTUSAN










