PETALING JAYA: Seramai 18 pelaut luar pesisir (offshore) Malaysia yang juga ahli Persatuan Pelaut Luar Pesisir Malaysia (MOS) dilaporkan sedang bertugas di beberapa kawasan operasi di Asia Barat yang kini dikategorikan sebagai zon konflik.
Presiden MOS, Kapten Tunku Ismail Tunku Yahaya berkata, maklumat itu diperoleh menerusi rangkaian ahli persatuan yang kini berkhidmat di kapal sokongan industri minyak dan gas di rantau terbabit.
“Setakat ini, kebanyakan mereka masih menjalankan operasi seperti biasa dengan pemantauan keselamatan yang ketat oleh syarikat perkapalan serta pengurusan kapal,” katanya.
Tunku Ismail berkata, industri luar pesisir mempunyai prosedur keselamatan tertentu bagi operasi di kawasan berisiko tinggi dan perkara itu sentiasa dipantau oleh pihak operator serta syarikat kapal.
“MOS yang mempunyai lebih 1,200 ahli turut dimaklumkan bahawa pelaut terbabit ditempatkan di beberapa lokasi operasi, termasuk Arab Saudi, Qatar serta sektor Emiriah Arab Bersatu (UAE) meliputi Dubai dan Abu Dhabi.
“Keselamatan dan kebajikan pelaut Malaysia perlu menjadi keutamaan, terutamanya bagi mereka yang bertugas di kawasan berisiko tinggi,” katanya.
Tambah beliau, syarikat perkapalan dan operator diharap memastikan pelaut yang ditempatkan di kawasan berisiko tinggi diberikan perlindungan sewajarnya termasuk aspek keselamatan, insurans serta pampasan berkaitan operasi di zon konflik.
“MOS akan terus memantau perkembangan semasa dan berhubung dengan ahli-ahlinya yang berada di kawasan operasi bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Ketegangan di Asia Barat terus meruncing sejak 28 Februari lalu apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran yang mencetuskan serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Senarai 18 Ahli MOS Di Kawasan Zon Konflik Asia Barat:
Arab Saudi (9):
Haizir Abu Hasan, Mohd. Subky Mohd Isa, Kapten Suryaintheran Selvaraja, Mohd. Hasmurieman Hashim, Azzahraul Nazrin Zainal Azri, Muhammad Qutaibah Mustaffa Kamal, Mohd. Khairul Nizam Abd Razak, Mohd. Firdaus Mohd Ali, Mohd. Fahmi A. Rahman
Qatar (4):
Mohamad Hafizzudin Mohamad Suraji, Lau Han Seong, Mohamad Sudaimi Abd Ghani, Mohd. Amirulhafiz Mohd. Johar
UAE – Sektor Dubai/Abu Dhabi (5):
Mu’ammar Asyraf Buzali, Ahmad Sayuti Husin, Nik Mohamad Shafik Nik Zulkifli, Lokmanulhakim Badizoman, Mohd. Nazri Sharif – UTUSAN










