PETALING JAYA: Transit Malaysia membantah penamatan perkhidmatan 29 laluan bas RapidKL yang kini digantikan dengan perkhidmatan Demand Responsive Transport (DRT) Rapid On-Demand.
Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, penamatan perkhidmatan bas berkenaan yang dilabelkan sebagai penstrukturan semula dilaksanakan serentak dengan pengecualian DRT daripada pas My50 RapidKL yang secara tidak langsung menjejaskan kemampuan pengguna.
Transit Malaysia berkata, sekiranya kerajaan berhasrat menggantikan perkhidmatan bas dengan perkhidmatan van, kadar tambang yang dikenakan seharusnya kekal berpatutan.
“Bagaimanapun, pemegang pas My50 kini terpaksa membayar tambang RM2 bagi menggunakan perkhidmatan gantian Rapid On-Demand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut pertubuhan itu, keputusan kerajaan menurunkan taraf perkhidmatan bas kepada van merupakan satu tindakan yang amat dikesali, lebih-lebih lagi apabila data berkaitan perjalanan DRT tidak didedahkan secara telus kepada umum.
“Kami membantah penamatan perkhidmatan bas ini dan mendesak kerajaan supaya menilai semula keputusan berkenaan.
“Singapura sebelum ini pernah menggunakan kenderaan kecil bagi menggantikan perkhidmatan bas.
“Namun, percubaan tersebut ditamatkan dalam tempoh beberapa tahun kerana orang awam lebih mengutamakan perkhidmatan bas yang andal dan kerap,” katanya.
Sehubungan itu, Transit Malaysia menyeru kerajaan supaya melabur lebih banyak dalam penambahbaikan rangkaian bas bandar, termasuk penyediaan infrastruktur pejalan kaki serta penyambungan semula kawasan penempatan yang terpisah akibat pembinaan lebuh raya dan pembangunan berpagar.
Menurut Transit Malaysia, sehingga kini, walaupun kesesakan lalu lintas terus berlaku di kawasan bandar, masih tiada pelan jangka panjang dibentangkan bagi peralihan daripada perkhidmatan DRT kepada rangkaian pengangkutan awam berkapasiti tinggi.
“Perkhidmatan atas permintaan berasaskan van tidak sekali-kali mampu menggantikan perkhidmatan bas laluan tetap yang menggunakan model kos per penumpang,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu berterus terang berhubung keputusan melaksanakan langkah jangka pendek DRT dengan mengemukakan data serta justifikasi kewangan yang jelas.
“Jika tidak, langkah ini hanya sekadar menampal ketirisan operasi bas dan mencerminkan kegagalan berpanjangan dalam menangani masalah pengangkutan bandar,” katanya. – UTUSAN









