PETALING JAYA: Rapid KL akan melanjutkan tempoh operasi perkhidmatan rel pada waktu puncak pagi dan petang sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di sekitar ibu negara dan Putrajaya bermula 23 hingga 28 Mei ini.
Prasarana Malaysia Berhad menerusi kenyataan berkata, waktu puncak pada hari bekerja sepanjang tempoh tersebut akan ditambah selama satu jam pada sebelah pagi dan petang.
Waktu puncak baharu bermula dari 6.30 pagi hingga 10.00 pagi serta 4.30 petang hingga 8.00 malam, berbanding waktu puncak biasa iaitu 7.00 pagi hingga 9.30 pagi dan 5.00 petang hingga 7.30 malam.
Kekerapan perkhidmatan tren pada hari Sabtu dan Ahad (24 dan 25 Mei) juga akan dipertingkatkan bagi menampung pertambahan jumlah penumpang sempena minggu persidangan berkenaan.
Bagi laluan Ampang/Sri Petaling pula, tren akan beroperasi setiap empat minit berbanding lima minit sebelum ini, manakala Laluan Kelana Jaya dikurangkan kepada setiap lima minit daripada tujuh minit.
Laluan Monorel dan Putrajaya pula akan beroperasi setiap lapan minit.
“Rapid KL akan mempertingkatkan pemantauan dan kawalan operasi di semua laluan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan sepanjang persidangan.
“Kami turut bersedia menambah bilangan tren sekiranya terdapat peningkatan mendadak jumlah penumpang atau keperluan operasi semasa,” katanya.
Selain itu, seramai 400 kakitangan tambahan akan ditempatkan di stesen-stesen rel terpilih bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang dan delegasi ASEAN yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang tempoh tersebut.
Sementara itu, bagi perkhidmatan bas dan Rapid KL On-Demand, beberapa laluan dijangka mengalami kelewatan jadual perjalanan berikutan penutupan jalan secara berperingkat oleh pihak berkuasa sepanjang sidang kemuncak berlangsung.
Antara laluan yang terlibat ialah Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa – KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang), serta Rapid KL On-Demand bagi Zon Titiwangsa – Chow Kit.
Sehubungan itu, pengguna bas yang menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan kawasan sekitarnya disaran menggunakan perkhidmatan rel sebagai alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Antara stesen yang boleh digunakan ialah Stesen KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen Persiaran KLCC dan Conlay (Laluan Putrajaya), Stesen Raja Chulan (Monorel KL) serta Stesen Bukit Bintang (Laluan Kajang dan Monorel KL).
Rapid KL turut menyarankan para penumpang agar merancang perjalanan lebih awal, memantau makluman terkini melalui media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi PULSE serta mempertimbangkan penggunaan perkhidmatan rel sebagai pilihan utama sepanjang minggu tersebut.
Warga kota diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya penggunaan pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan ke lokasi tumpuan dan menyumbang kepada kelancaran trafik sepanjang tempoh persidangan dan acara berskala besar di ibu negara.
Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyarankan orang ramai di Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam sepanjang penganjuran sidang kemuncak itu yang berlangsung di KLCC.
Katanya, sempena sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China, sejumlah ketua kerajaan dan ketua negara akan tiba di Malaysia sama ada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang atau Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mulai Khamis ini.
Sidang tersebut menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan pelbagai isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi.
Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari lalu daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN










