Komponen tren alami letupan kecil diganti - RapidKL

Komponen tren alami letupan kecil diganti – RapidKL

Letupan tren
TANGKAP layar daripada rakaman tular yang dimuat naik seorang pengguna LRT Laluan Shah Alam mendakwa berlaku letupan dan percikan api ketika menaiki tren tersebut, di sini pada Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam yang mengalami gangguan di sini, pada Sabtu lalu disahkan selamat dan kembali beroperasi selepas penggantian komponen dibuat.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (RapidKL) dalam kenyataannya berkata, tren tersebut sebelum ini mengalami gangguan apabila berlaku letupan kecil yang menyebabkan percikan api dekat Stesen Stadium Shah Alam.

“Hasil siasatan, insiden melibatkan sebuah tren pada 4 Julai, pada pukul 7.05 malam adalah berpunca daripada isu teknikal salah satu komponennya yang bersentuhan dengan konduktor kuasa. Ia menyebabkan bunyi letupan kecil serta percikan api.

“Susulan kejadian tersebut, tren berkenaan dikeluarkan serta-merta. Semua penumpang (ketika itu) diturunkan di stesen berikutnya dan meneruskan perjalanan dengan menaiki tren lain,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, tiada sebarang kecederaan penumpang dilaporkan dan operasi LRT Laluan Shah Alam berjalan seperti biasa.

Terdahulu, tular rakaman daripada seorang penumpang yang mendakwa berlaku mendengar letupan kecil dan percikan api daripada tren yang dinaikinya sehingga menyebabkan gangguan.

RapidKL dalam kenyataan sama memaklumkan, susulan kejadian, tren terbabit dibawa ke depoh dan dijalankan pemeriksaan terperinci.

“Komponen tren yang mengalami isu diganti dan tren dibenarkan kembali beroperasi selepas melalui pemeriksaan serta disahkan selamat untuk perkhidmatan.

“RapidKL sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang serta memandang serius insiden yang melibatkan operasi perkhidmatan. Pemeriksaan dan pemantauan terhadap tren-tren lain turut dilaksanakan sebagai langkah pencegahan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN