Tragedi 5 maut: Api marak cepat, jiran hanya mampu dengar jeritan minta tolong

Tragedi 5 maut: Api marak cepat, jiran hanya mampu dengar jeritan minta tolong

BAPA, ibu dan tiga anak yang terkorban dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Raub, awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Jiran kepada lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, di sini semalam mendakwa mendengar jeritan dari rumah itu namun penduduk tidak dapat membantu kerana api marak dengan cepat.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 3.35 pagi itu rumah sewa yang dijadikan stor dan pusat pengumpulan durian berkenaan musnah dijilat api.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, mereka mendengar dengan jelas suara wanita menjerit meminta tolong ketika api menyambar struktur rumah kayu berkenaan.

“Ketika itu api sudah marak, tak boleh buat apa-apa. Api cepat sangat merebak,” katanya di sini semalam.

Dalam tragedi itu, mangsa terkorban ialah Mohd. Alawi Muhammad, 56; isterinya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, ser­ta tiga anak mereka iaitu Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.

Dua lagi anak pasangan ber­kenaan, Ruby Adalia Balqies, 19, yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Gambang dan Ahmad Balia Murqam, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong, tidak berada di rumah ketika kejadian.

Difahamkan, Allahyarham Mohd. Alawi bekerja sebagai pengumpul dan penjual durian selain turut berniaga di bazar Ramadan.

Sementara itu, Pengerusi Ja­watankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JP­KK) Kampung Pamah Kulat, Mohd. Amin Nupah berkata, be­liau antara yang terawal tiba di lokasi selepas dimaklumkan penduduk namun tidak mampu membantu kerana rumah jenis kayu itu sangat cepat terbakar.

Katanya, premis berkenaan bukan bengkel seperti disangka pada awalnya, sebaliknya stor membeli dan menyimpan durian sebelum dijual.

“Mohd. Alawi beli buah, simpan di stor durian. Musim durian dan Ramadan memang ba­nyak urusan jual beli,” katanya yang menyifatkan Allahyarham seorang yang rajin bekerja dan disenangi penduduk kampung.

Pemilik rumah, Norizan Kamaludin, 59, pula berkata, keluarga berkenaan telah menyewa kediaman itu hampir 10 tahun.

“Mereka sudah lama duduk di sini. Anak-anak pun membesar di rumah itu. Selama ini tiada masalah, mereka baik de­ngan jiran,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal turut berada di lokasi kejadian dan menyalurkan bantuan awal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN