JERANTUT: Tradisi membersihkan aliran Sungai Tembeling selepas musim tengkujuh kekal menjadi amalan sejak lebih seabad lalu dalam kalangan penduduk di enam kampung di Ulu Tembeling, dekat sini.
Kira-kira 300 penduduk Kampung Kuala Tahan, Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling terdiri daripada penggiat sektor ekopelancongan, pemandu bot, nelayan sungai serta dibantu pihak berkuasa bergotong-royong membersihkan Sungai Tembeling sempena cuti hujung minggu, baru-baru ini.
Pemandu pelancong Kampung Kuala Sat, Suhaidi Erwan, 40, berkata, aktiviti membersihkan Sungai Tembeling adalah rutin tahunan selepas musim tengkujuh dan dilakukan oleh penduduk yang tinggal di pesisir sungai lebih seabad lalu.
“Penduduk bergotong-royong memindahkan batu, kayu balak reput yang hanyut dan memotong pokok tumbang ketika banjir yang tersangkut di kawasan alur sungai bagi memudahkan laluan atau pergerakan bot penambang.
“Kerja mengalih batu dan kayu reput termasuk reba pokok perlu dilakukan untuk jaminan keselamatan bot penambang yang melalui khususnya di kawasan jeram ketika memunggah barang, penumpang serta pelancong,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kampung Kuala Sat.
Kata Suhaidi, aktiviti yang sama dilakukan oleh penduduk kampung lain di pesisir sungai Ulu Tembeling ketika air sungai itu mulai cetek akibat kemarau sekali gus memudahkan kerja membersihkan alur dan jeram.
Sementara itu, penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 56, berkata, aktiviti membersihkan alur sungai itu dipercayai dimulakan lebih seabad lalu seperti yang diceritakan oleh orang terdahulu.
Katanya, lebih mengujakan apabila penduduk berendam dalam air seharian untuk mengalih batu dan memotong kayu dengan mesin gergaji berbanding era 60-an hingga 80-an yang cuma guna kapak dan parang. – UTUSAN










