Shahidan sekali lagi mohon dividen KWSP disalur ke akaun 3

Shahidan sekali lagi mohon dividen KWSP disalur ke akaun 3

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sekali lagi memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula cadangan supaya agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disalurkan ke Akaun 3.

Shahidan berkata, sebagai alternatif tambahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga wajar meneliti pelaksanaan Pengeluaran Khas Aidilfitri secara bersasar dan bersyarat kepada golongan yang benar-benar terkesan dengan tekanan kos sara hidup. 

Beliau berkata, pengeluaran tersebut perlu dirangka dengan teliti agar tidak menjejaskan jaminan dan keselamatan simpanan persaraan pada masa hadapan.

“Dalam masa yang sama, adalah lebih wajar perkara ini dibahaskan secara menyeluruh di Dewan Rakyat supaya semua Ahli Parlimen dapat mengemukakan pandangan, cadangan serta pendekatan terbaik.

“Ia bagi memastikan setiap keputusan yang diambil benar-benar berpihak kepada kepentingan rakyat dan menjamin masa depan para pencarum,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Selain itu, Shahidan berkata, beliau turut bercadang menggerakkan himpunan di seluruh negara bagi turun padang mendengar sendiri luahan serta pandangan rakyat berhubung isu berkenaan.

“Saya juga akan mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) pada hari Isnin, 2 Mac 2026 bagi membolehkan perkara ini dibincangkan secara rasmi di Parlimen Malaysia,” katanya. 

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Shahidan telah memohon agar dividen KWSP dicarum sepenuhnya ke Akaun 3 bagi meringankan beban pencarum yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup.

Perkara itu terdahulu turut dibangkitkan Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN