SETIU: Rumah sebesar sebuah bilik yang dibina arwah suami 16 tahun lalu menjadi tempat berteduh seorang ibu tunggal bersama empat anaknya dari Kampung Payung di sini, untuk meneruskan kehidupan seharian.
Lebih memeritkan, Siti Khatijah Sabri, 38, kehilangan suaminya, Tengku Mohd. Shahrizan Tuan Abdull Aziz pada 9 Februari lalu akibat serangan jantung kini terpaksa bergantung kepada sumbangan orang ramai.
Wanita itu berkata, keluarganya tidak mampu memiliki rumah sendiri dan terpaksa berlindung di ‘rumah kotak’ sebesar sebuah bilik itu yang dibina di atas tanah ahli keluarga lain.
Katanya, rumah tersebut tidak memiliki bilik dengan satu ruang yang menjadi dapur tempat, ruang makan dan tempat tidur mereka lima beranak.
“Struktur rumah dibina sekadar untuk melindungi keluarga daripada hujan dan panas, selain hanya diterangi dengan satu lampu yang menjadi ‘syurga’ kami sekeluarga.
“Cuma sata risau keselamatan anak-anak kerana rumah kami sering dimasuki haiwan berbisa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Payung, di sini semalam.
Menurut Siti Khatijah, meskipun hidup dalam serba kekurangan dia bersyukur masih mempunyai tempat berteduh namun kehidupannya bersama empat anaknya berubah selepas kematian suaminya.
Katanya, dia yang memiliki dua anak lelaki dan dua anak perempuan berusia antara tiga tahun hingga 16 tahun hilang tempat bergantung kerana dia seorang surirumah dan tidak memiliki sumber pendapatan.
Ujarnya, dia buntu memikirkan nasib mereka sekeluarga kerana hanya bergantung kepada sumbangan yang diperoleh daripada orang ramai.
“Setelah bergelar ibu dan bapa kepada anak-anak, saya ingin yang terbaik untuk mereka termasuk mempunyai tempat tinggal yang selesa, namun ia di luar kemampuan saya.
“Setakat ini Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Payung telah membantu saya membuat permohonan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dan bantuan pendidikan untuk anak-anak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Siti Khatijah berkata, dia kini dalam perancangan untuk mencari pekerjaan untuk menyara keluarga serta membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Apabila memikirkan puasa dan raya membuatkan air mata saya jatuh mengenangkan anak-anak yang bertanya persiapan baju raya mereka. Sebelum ini segala persiapan dibuat arwah suami,” katanya. – UTUSAN








