JOHOR BAHRU: Sebuah rumah teres dua tingkat di Johor Jaya, dekat sini dijadikan pejabat bagi urusan permohonan dan memperbaharui permit kerja warga asing.
Malah, pemilik kediaman itu menggunakan beberapa nama ahli keluarga termasuk nenek yang berusia lebih 90 tahun dalam jagaan sebuah pusat kebajikan sebagai proksi untuk mendaftarkan 13 syarikat bagi mendapat kuota pekerja asing.
Bukan itu sahaja, pekerja asing tersebut kemudian dibekalkan kepada syarikat-syarikat lain yang memerlukan tenaga kerja.
Bukan setakat itu, semua pekerja tersebut turut ‘diikat’ dengan proses memperbaharui permit kerja mereka yang perlu dilakukan menerusi syarikat berkenaan dengan bayaran antara RM4,000 hingga RM5,000.
Difahamkan, syarikat berkenaan mampu meraih keuntungan kira-kira RM5 juta setahun hasil urus niaga tersebut kerana mengawal kira-kira 2,300 pekerja asing di bawahnya.
Walau bagaimanapun, modus operandi syarikat tersebut terbongkar hasil aduan awam dan risikan selama tiga hari oleh Jabatan Imigresen Johor.
Berdasarkan pengakuan anak kepada lelaki berusia 65 tahun yang turut ditahan dan pengurus syarikat mengaku tidak tahu keberadaan pekerja asing yang didaftarkan di bawah syarikat itu kerana ia permit bebas, iaitu pekerja asing bebas bekerja di mana-mana tempat.
Soal siasat terhadap 15 pekerja asing yang turut ditahan dalam premis itu mendapati pekerja asing tersebut bekerja di Johor Bahru dan daerah lain seperti Muar dan Batu Pahat.
Malah, ada kemungkinan ada antara mereka turut bekerja di luar negeri Johor.
Siasatan lanjut juga mendapati kontrak pembekalan pekerja tidak diendors setem hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebahagian besar urusan menggunakan transaksi tunai tidak dilaporkan, sekali gus menyebabkan ketirisan cukai hasil negara dipercayai melibatkan jutaan ringgit.
Suspek ditahan di bawah Akta Pasport 1963 dan empat warganegara Indonesia pula ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN










