PUTRAJAYA: Sekumpulan penari lelaki yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, minggu lalu, dipercayai menawarkan ‘perkhidmatan tambahan’ di luar premis membabitkan hubungan sejenis kepada pelanggan lelaki.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati pusat hiburan berkenaan hanya membenarkan pelanggan lelaki untuk masuk dan berhibur.
“Hasil siasatan mendapati premis itu dibuka khusus untuk pelanggan lelaki saja dengan bayaran masuk RM780 bagi setiap meja.
“Apabila berada di dalam premis itu, pelanggan akan dihiburkan dengan persembahan tarian seksi oleh barisan lelaki tempatan dan warga asing.
“Empat lelaki warga asing yang ditahan dalam operasi di premis itu membabitkan tiga warga China dan seorang warga Filipina.
“Mereka kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zakaria berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan urusan bagi ‘perkhidmatan tambahan’ dibuat antara penari terbabit dengan pelanggan di luar kawasan pusat hiburan itu.
“Kami percaya wujud tawaran untuk ‘perkhidmatan tambahan’ membabitkan hubungan lelaki dengan lelaki,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen (Imigresen) akan kongsikan hasil siasatan kes itu dengan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan Imigresen dalam satu operasi khas, kelmarin, membongkar kegiatan maksiat di sebuah pusat hiburan di ibu kota yang menampilkan persembahan tarian oleh individu sejenis.
Dalam operasi bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bermula jam 12.05 tengah malam itu, tiga warga China dan seorang warga Filipina berusia antara 21 hingga 31 tahun ditahan.
Kesemua lelaki itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Imigresen memaklumkan bahawa pusat hiburan itu beroperasi sejak tahun lalu dengan menyasarkan pelanggan tempatan dan warga asing dari sekitar Lembah Klang.











