TENOM: Sejumlah RM22.3 juta disalurkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menerusi pelbagai inisiatif pembangunan dirangka secara menyeluruh dalam memperkasa golongan pekebun kecil di Sabah tahun ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata selain peruntukan peringkat negeri, Risda Keningau pula menerima peruntukan RM4.66 juta bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil di daerah itu.
“Peruntukan itu membabitkan bantuan tiga komponen utama iaitu program penanaman semula getah dan bekalan, program produktiviti dan pemasaran serta program pengembangan dan perancangan,” katanya ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat Risda Sabah 2026 di Dewan SJK(C) Chung Hwa, di sini, hari ini.
Beliau berkata, program itu adalah inisiatif murni Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Risda dalam memastikan komuniti desa pekebun kecil menerima maklumat terkini yang bermanfaat untuk meningkatkan pulangan dan menyokong pembangunan desa yang mampan.
“Program itu menjadi platform berimpak tinggi mengangkat martabat komuniti desa ke tahap lebih membanggakan, selari dengan Aspirasi Desa MADANI,” katanya.
Katanya, komuniti pekebun kecil perlu terus diberikan galakan serta sokongan melalui inisiatif baharu bagi mewujudkan peluang penambahan pendapatan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil getah.
“Keadaan pasaran harga getah dunia ketika ini semakin mencabar, justeru usaha mempelbagaikan sumber pendapatan menjadi tumpuan kerajaan memastikan kelangsungan ekonomi komuniti pekebun kecil,” katanya. – UTUSAN










