RISDA bantu pekebun kecil tangani ketidaktentuan harga getah 

RISDA bantu pekebun kecil tangani ketidaktentuan harga getah 

RUBIAH AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membantu pekebun kecil menghadapi ketidaktentuan harga getah dengan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran dan memperkasa sistem pemasaran hasil.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Awang berkata, langkah itu dilaksanakan susulan ketidaktentuan harga getah dunia yang dipengaruhi pelbagai faktor luaran termasuk perkembangan geopolitik di Asia Barat dan turun naik harga petroleum.

“Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah Program Pengeluaran Hasil Getah Matang (PHGM) yang menyediakan bantuan input pertanian seperti baja, peralatan menoreh, bahan rangsangan lateks serta kerja-kerja penyelenggaraan kebun.

“Bantuan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos pengeluaran yang ditanggung oleh pekebun kecil, malah meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil getah,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Haji Mustafa Musa berhubung inisiatif RISDA membantu pekebun kecil getah mengimbangi perubahan harga semasa getah asli dan kos tuaian hasil supaya prospek bekalan komoditi itu tidak terjejas susulan konflik di Asia Barat dan ketidaktentuan harga petroleum.

Rubiah berkata, RISDA turut melaksanakan Program Fasiliti Pemasaran Getah (FASGET) melalui penyediaan Depo Pengumpulan Skrap dan Lateks bagi mengumpulkan hasil pekebun kecil sebelum dipasarkan secara pukal.

Katanya, pendekatan itu dapat mengurangkan kos pengangkutan, meningkatkan kecekapan logistik serta memperkukuh kedudukan tawar-menawar pekebun kecil dalam pasaran.

“Bagi melengkapkan usaha tersebut, RISDA turut memperkenalkan Program Pemasaran Getah Bergerak (PGB) yang menyediakan perkhidmatan pembelian getah secara bergerak, khususnya di kawasan pedalaman.

“Inisiatif ini memudahkan urusan penjualan hasil, menjimatkan kos dan masa perjalanan pekebun kecil, memperluaskan akses kepada saluran pemasaran rasmi serta memastikan hasil getah dapat dipasarkan dengan lebih cekap dan pada harga yang kompetitif,” katanya.

Beliau berkata, RISDA juga melaksanakan Program RISDA Sebagai Pembeli Getah Utama (Anchor Buyer) menerusi RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) bagi menyediakan saluran pemasaran yang lebih tersusun, telus serta menawarkan harga belian yang kompetitif mengikut harga pasaran semasa.

Katanya, sebagai pembeli utama, RPSB mengamalkan kadar diskaun belian minimum bagi membolehkan pekebun kecil menikmati harga belian yang lebih baik.

“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, malah mewujudkan persaingan harga yang sihat serta meningkatkan pulangan hasil jualan pekebun kecil. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN