KUALA LUMPUR: Status tanah menyebabkan pekebun kecil sawit gagal mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, bagi isu pemilikan tanah khususnya melibatkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, Kementerian bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan MSPO sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri.
Katanya, kerjasama itu bertujuan bagi pengesahan pemilikan tanah yang sah serta pelaksanaan langkah pemudah cara yang bersesuaian.
“Kerajaan tidak menyediakan bantuan secara langsung kepada pekebun kecil kelapa sawit yang terkesan dengan kos logistik di negeri Sarawak.
“Bagaimanapun, bagi membantu pekebun kecil mengurangkan beban kos logistik, kerajaan menyediakan peruntukan untuk pembinaan dan naik taraf Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK).
“Sebanyak RM19.5 juta telah diluluskan bagi negeri Sarawak sejak 2023 termasuk RM3 juta bagi tahun 2026,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Edwin Banta (PH-Selangau) mengenai langkah mitigasi bagi membantu pekebun kecil kelapa sawit di Parlimen Selangau menghadapi kos logistik tinggi termasuk subsidi pengangkutan zon pedalaman serta bantuan khas bagi pekebun yang gagal memperoleh pensijilan MSPO akibat isu tanah NCR.
Tiong Sii berkata, kerajaan melalui MPOB memperuntukkan bantuan khas berupa insentif serta sokongan teknikal, termasuk bimbingan pematuhan dan kos pensijilan bagi membantu pekebun kecil yang layak memperoleh pensijilan MSPO.
“Bagaimanapun, pemberian bantuan tersebut tidak melibatkan sebarang pelonggaran terhadap syarat dan standard pensijilan MSPO yang telah ditetapkan dan semua pemegang sijil kekal tertakluk kepada keperluan pematuhan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN










