BESUT: Ketibaan Ramadan kali ini disambut dalam suasana berbeza dan pilu bagi keluarga Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde, salah seorang 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak pada Jun tahun lalu.
Bapanya, Rosde Yaakub berkata, pada setiap kali tibanya Ramadan, anaknya itu sangat teruja untuk berpuasa dan rajin membantu ibunya, Juariah Abd Rahman menyiapkan hidangan berbuka.
“Jika sebelum ini ketika berbuka puasa semua ahli keluarga berkumpul di meja makan tetapi kali ini terdapat kerusi kosong milik Muhammad Mustaqim. Kadangkala suasana ini membuatkan air mata bergenang.
“Setiap kali Ramadan, arwah selalu pulang dari kampus untuk berpuasa bersama kami. Awal Ramadan baru-baru ini, saya terbayang-bayang kelibatnya pulang seperti selalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Telaga Nibong di sini.
Rosde berkata, agak janggal buat dirinya apabila dia sering mengejutkan Muhammad Mustaqim untuk bangun bersahur yang mana rutin itu sudah tidak dapat dilakukan.
Sementara itu, Juariah berkata, Muhammad Mustaqim adalah orang pertama yang sibuk dalam persiapan raya termasuk memilih menu dan tema baju raya mereka sekeluarga.
“Hidangan ketupat, rendang, mi kari dan pulut panggang adalah menu wajib yang perlu ada dan ia adalah kegemaran arwah. Dia sanggup membantu saya memasak semuanya untuk disajikan pada pagi raya,” katanya.
Menurut Juariah, lebih terkesan buat mereka sekeluarga apabila Muhammad Mustaqim memilih warna tema kelabu buat mereka sekeluarga untuk majlis perkahwinan kakak sulungnya yang dijadualkan Januari lalu.
Katanya, mereka tetap mengenakan pakaian tema tersebut sebagai salah satu cara untuk mengenang dan tanda kerinduan mereka kepada Allahyarham.-UTUSAN










