Rafizi sedia disiasat, dakwa siasatan SPRM bermotif intimidasi

Rafizi sedia disiasat, dakwa siasatan SPRM bermotif intimidasi

Kawalan keselamatan
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli mengalu-alukan siasatan terhadap tuduhan rasuah dikaitkan dengan dua dasar utama kerajaan yang dibangunkannya semasa berkhidmat di Kementerian Ekonomi.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, tuduhan kerjasama Visi Silikon dengan pereka cip British Arm Holdings dibuat secara tergesa-gesa, adalah tidak masuk akal kerana setiap keputusan dibentang dan diluluskan di peringkat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Mengiyakan tuduhan ini seolah-olah menuduh Perdana Menteri lalai dalam menjalankan tugas atau tidak memahami industri semikonduktor sehingga boleh diperdaya oleh saya.

“Malah, ia turut mencemarkan nama semua menteri yang terbabit, pegawai kanan kerajaan, Peguam Negara serta keseluruhan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya sebagai satu bentuk intimidasi yang dipercayai berkait rapat dengan tuntutannya agar Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki digantung tugas.

Katanya, SPRM secara tiba-tiba giat menyiasat dakwaan salah laku dan rasuah semasa tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Ekonomi, yang tertumpu pada dua dasar utama negara iaitu Program Visi Silikon dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Sehingga kini, tiada satu bukti kewangan yang menunjukkan berlaku kebocoran dana awam dalam tuduhan ini. Tidak ada bukti saya mengambil wang, tidak ada bukti wang masuk ke akaun saya.

“Paling berbahaya, tuduhan ini menggambarkan ARM iaitu salah satu syarikat cip semikonduktor yang menguasa lebih 90 peratus pasaran cip peranti dunia telah merasuah saya tanpa ada sebarang bukti.

“Apabila berita ini mula dilaporkan di peringkat antarabangsa, imej Malaysia dan industri semikonduktor negara akan mendapat liputan negatif yang akan menjejaskan negara,” katanya.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, pelan NTER adalah dasar peralihan tenaga menjelang 2050 dan tidak melibatkan perolehan kerajaan atau dana awam bagi pembinaan projek.

Menurutnya, salah satu dasar penting ialah membenarkan syarikat swasta membangunkan projek tenaga boleh baharu untuk membekalkan terus tenaga hijau kepada industri tanpa melalui Tenaga Nasional Berhad.

Beliau merujuk projek oleh UEM Lestra, anak syarikat UEM milik Khazanah yang mengumumkan pelaburan RM2.5 bilion bagi membangunkan projek tenaga boleh baharu berkapasiti 750MW di Segamat.

Menurut laporan media, projek itu diusahakan melalui usaha sama dengan I-Squared Capital dari Amerika Syarikat dan jualan tenaga dimuktamadkan dengan ESR Group Limited berpangkalan di Hong Kong.

Kata Rafizi, keputusan komersial syarikat swasta itu tidak ada kena mengena dengan Kementerian Ekonomi, kerajaan atau melibatkan perolehan awam.

Beliau turut mendedahkan serangan terancang yang menggunakan pempengaruh media sosial untuk menuduh beliau menyeleweng termasuk kandungan dibuat oleh Ariz Ramli atau dikenali sebagai Caprice.

Rafizi memberi peluang kepada individu tersebut untuk menyiarkan fakta sebenar dan memohon maaf sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian setelah diberi peluang, saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan tindakan saman terhadap beliau.

“Serangan oleh SPRM terhadap dasar kerajaan yang tiada unsur perolehan atau motif kewangan menunjukkan risiko salah guna kuasa jika individu sedang disiasat masih memegang kuasa.

“Tindakan sewajarnya ialah menggantung tugas Tan Sri Azam segera seperti sepatutnya dilakukan oleh Perdana Menteri sejak minggu lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN