PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin dilantik ketua Bersatu Melaka yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali berkata, ia susulan peletakan jawatan penyandang terdahulu, Tan Sri Rahim Thamby Chik, semalam.
Menurutnya, pelantikan Radzi yang turut menjalankan tugas timbalan presiden dipersetujui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin
“Radzi mempunyai pengalaman dan kepimpinan untuk membina kekuatan dalam kalangan barisan pemimpin baharu yang komited kepada idealisme perjuangan parti.
“Tugas utama beliau ialah menyusun semula struktur kepimpinan bahagian-bahagian Bersatu di Melaka dalam masa terdekat, termasuk menggembleng pemimpin tempatan, anak muda dan golongan profesional,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Rahim meletak jawatan sebagai ketua Bersatu Melaka selain ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan ahli Jawatankuasa Pengukuhan Parti.
Bekas Ketua menteri Melaka itu mendakwa tindakan terbabit dibuat atas prinsip tanggungjawab moral dan politik.
Perkembangan itu menyusul beberapa pemimpin Bersatu Melaka meletak jawatan, termasuk Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti. – UTUSAN










