PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Putrajaya, Dr. Radzi Jidin mempersoalkan mengapa kerajaan hari ini hanya mahu mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) kepada rakyat selepas lebih 43 bulan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata, pendekatan itu berbeza dengan pengendalian Kertas Putih Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)FELDA yang disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi menterinya.
Radzi yang ketika itu merupakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau turut diberikan tanggungjawab membantu memantau penyediaan dokumen berkenaan.
“Kertas Putih FELDA bukan sahaja memperincikan isu dalaman FELDA, malah turut mengandungi laporan forensik bagi lapan pembelian atau pelaburan aset.
“Selepas siap dan mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara, Kertas Putih FELDA terus dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Kertas Putih FELDA dibentangkan dengan segera di Parlimen selepas disiapkan, berbeza dengan laporan RCI Tabung Haji yang hanya mahu didedahkan beberapa tahun selepas dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Kesimpulannya, Kertas Putih FELDA dibentangkan segera di Parlimen selepas disiapkan manakala laporan RCI berkaitan Tabung Haji disimpan lebih 43 bulan sebelum dibentangkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, cadangan penubuhan RCI Tabung Haji telah dibincangkan oleh Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2020 ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, selepas mengambil kira pelbagai aspek, Jemaah Menteri kemudian meluluskan penubuhan suruhanjaya berkenaan pada 14 Julai 2021.
“Laporan RCI berkaitan Tabung Haji telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 14 Disember 2022 ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
“Jemaah Menteri di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin telah berusaha sebaik mungkin untuk memperkasa tadbir urus Tabung Haji melalui penubuhan RCI,” katanya, – UTUSAN










