Pelantikan Radzi Jidin bukti Bersatu Melaka ketandusan pemimpin

Pelantikan Radzi Jidin bukti Bersatu Melaka ketandusan pemimpin

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelantikan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka menunjukkan ketandusan kepemimpinan di negeri ini.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, pelantikan kononnya bagi tujuan ‘penyusunan semula’ itu hakikatnya adalah usaha menampal kelemahan dalaman yang semakin parah.

Katanya, tindakan melantik Mohd. Radzi bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang meletak jawatan tidak mampu menutup realiti bahawa lima daripada enam bahagian di Melaka telah membubarkan jawatankuasa.

“Pelantikan ini kononnya demi penyusunan semula. Namun, realitinya ia lebih mirip usaha menampal atap bocor ketika dinding sudah reput.

“Hakikat bahawa lima daripada enam bahagian di Melaka telah membubarkan jawatankuasa masing-masing adalah gambaran jelas bahawa negeri ini bukan sekadar bergolak tetapi sudah ketandusan kepimpinan,” katanya.

Semalam, lima daripada enam Bahagian Bersatu di Melaka dibubarkan iaitu Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin, melainkan Kota Melaka.

Mohd. Yadzil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban berkata, satu demi satu pimpinan utama di peringkat pusat dan bahagian dipecat atau disisihkan manakala wakil rakyat serta akar umbi dibiarkan tanpa hala tuju yang jelas.

Katanya, ketika bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin terasa, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik ‘orang luar’ untuk menerajui negeri ini.

“Lebih menyedihkan, ketika bahang PRN Melaka semakin terasa, Presiden parti terpaksa ‘mengimport’ kepimpinan luar untuk memimpin Melaka.

“Apakah ini tanda Melaka sudah kehabisan anak watan yang diyakini? Atau sememangnya tiada yang tinggal untuk diyakinkan?,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN