SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah Seremban menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh memasukkan pembelaan bagi penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad, 40, selepas proses Sulh melibatkan tuntutan harta sepencarian dengan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, gagal.
Peguam syarie yang mewakili Afifah Hidayah, Datuk Akberdin Abdul Kadir, berkata, pihaknya telah menyerahkan saman kepada pihak plaintif (Nubhan) pada 19 Januari lalu selepas selebriti itu gagal hadir ke prosiding berkenaan.
Menurutnya, mahkamah telah memberikan tempoh kepada pihak defendan untuk memasukkan pembelaan pada atau sebelum 24 Februari manakala kedua-dua pihak dikehendaki hadir semula ke mahkamah pada 11 Mac depan bagi jawapan pembelaan.
“Ini merupakan prosedur biasa selepas kegagalan Sulh. Mahkamah memberi peluang kepada defendan untuk memasukkan pembelaan pada atau sebelum 24 Februari ini. Pada 11 Mac depan pula, kami akan maklumkan status serta langkah seterusnya termasuk membalas jawapan pembelaan dan ikatan dokumen.
“Prosiding hari ini hanya melibatkan sebutan dan tarikh memasukkan pembelaan bersama pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Syariah Seremban di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Terdahulu, Afifah Hidayah hadir bersama dengan seorang lagi peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff serta ditemani oleh kedua ibu bapanya ke Pejabat Mahkamah Tinggi Syariah manakala Ahmad Nubhan hanya diawakili oleh peguam, Mohd. Redzuan Ramli.
Sementara itu, Afifah Hidayah berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kebajikan anak-anak mereka.
“Saya harap kes ini dipermudahkan dan diselesaikan dengan baik. Apa yang saya perjuangkan ini adalah untuk masa depan anak-anak, bukan semata-mata untuk diri saya. Seperti yang pernah disebut sebelum ini, kami boleh berkawan demi anak-anak. Saya harap perkara itu masih dipegang,” katanya.
Dia turut memaklumkan setakat ini masih belum menerima sebarang ketetapan berkaitan tuntutan hadanah dan nafkah anak-anak namun berharap proses berkenaan dapat dipercepatkan agar semua pihak dapat meneruskan kehidupan masing-masing dengan baik.
“Alhamdulillah, saya sudah berpindah ke rumah baharu dan penerimaan anak-anak setakat ini baik. Yang penting bagi saya adalah persekitaran yang positif dan selesa untuk mereka,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan prosiding Sulh antara penyanyi, Ahmad Nubhan dan bekas isterinya, Afifah Hidayah gagal selepas selebriti itu tidak hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, di Bandar Sri Sendayan di sini, bulan lalu. – UTUSAN










