PETALING JAYA: Prestasi dan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan hari ini mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan institusi itu serta keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global yang mencabar, KWSP berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM79.6 bilion.
“Alhamdulillah, KWSP mengisytiharkan dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah untuk tahun 2025 dengan jumlah agihan RM79.6 bilion.
“Pencapaian ini, walaupun dalam keadaan pasaran global yang mencabar, membuktikan keutuhan strategi pelaburan KWSP serta tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi simpanan persaraan negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan dasar ekonomi yang mampan bagi memacu pertumbuhan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Madani menyambut baik prestasi ini dan komited untuk terus memperkukuh dasar yang mampan agar setiap warga mampu merancang masa depan dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya. – UTUSAN











