PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan secara terperinci berhubung isu Jajaran Sempadan Malaysia-Indonesia dalam Sesi Penerangan Khas di Parlimen pada pukul 11.30 pagi ini.
Anwar berkata, penjelasan berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak khususnya bagi memperbetulkan kekeliruan dan salah faham yang telah timbul dalam kalangan masyarakat.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjelaskan pemuktamadan pengukuran sempadan darat membabitkan tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia dibuat melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara dua negara pada 18 Februari 2025.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, setiap inci pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa serta koordinat geospatial yang tepat dan bukannya atas dasar konsesi politik.
Sebelum ini, media melaporkan peta sempadan antara Indonesia dan Malaysia mengalami perubahan signifikan susulan penyelesaian OBP yang menyaksikan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara kini secara rasmi berada di dalam wilayah kedaulatan Malaysia.
Pada masa sama, Arthur berkata, laporan media menyatakan ‘Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan’ adalah tidak tepat. –UTUSAN











