ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak tidak lama lagi susulan mesyuarat Majlis Sekretariat yang diadakan minggu lalu.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gabungan itu mempunyai dua peringkat jawatankuasa utama iaitu Majlis Presiden dan Majlis Sekretariat yang berperanan menyelaras keputusan politik serta gerak kerja organisasi.
Menurut beliau, mesyuarat sekretariat itu membincangkan persiapan pilihan raya, selaras dengan tempoh tamat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Disember ini, Johor pada April tahun depan dan Sarawak yang berada antara tempoh itu.
“Kami telah meminta Jawatankuasa Pilihan Raya PH membuat persiapan awal termasuk merangka strategi menghadapi pilihan raya, sama ada menggunakan model kerjasama Kerajaan Perpaduan atau pendekatan lain,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke projek Pusat Kemudahan Perniagaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), hari ini.
Berhubung Pusat Kemudahan Perniagaan KEDA bernilai RM17.5 juta itu, beliau berkata, kemajuan projek kini telah mencapai 95 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan bulan depan sebelum beroperasi menjelang Ogos.
“Asalnya projek ini termasuk dalam kategori projek sakit, namun Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor tidak berputus asa. Kini kita berada di penghujung untuk melihat hasilnya,” katanya.
Beliau berkata, pusat berkenaan menyediakan 16 lot gerai niaga seperti Pekan Rabu tetapi lebih luas dan dewan besar pelbagai guna selain kemudahan gimnasium serta taman asuhan kanak-kanak (taska).
“Seperti yang kita sedia maklum, Kedah mempunyai pelbagai kawasan pembangunan di bawah KEDA, jadi kita berharap projek ini akan menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan KEDA,” katanya. – UTUSAN










