KUALA NERUS: Usaha menjual tembikai secara terus dari kebun oleh seorang pekebun kecil di Kampung Mengabang Kapal di sini, membuahkan hasil apabila menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan sejak musim tuaian bermula lima hari lalu.
Noreha Ahim, 50, berkata, dia bersama suami, Azhar Salleh, 57, mengusahakan kebun yang mempunyai 1,000 pokok pelbagai jenis seperti tembikai madu, tembikai merah dan tembikai kuning.
“Alhamdulillah, hasilnya sangat memberangsangkan dan saya jangka boleh mencecah sehingga lima tan kerana musim kali ini buahnya menjadi,” katanya ketika ditemui.
Menurut Noreha, sejak musim kutipan hasil bermula, kira-kira 1,000 biji tembikai dituai setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan tempatan.
Lebih menarik, katanya, tembikai dijual secara terus dari kebun pada harga RM1.50 sekilogram, sekali gus menawarkan harga berpatutan kepada pembeli.
“Setiap petang pelanggan datang ke kebun dan memilih sendiri tembikai yang mereka mahukan. Jadi mereka dapat buah yang segar. Ada yang datang bersama keluarga kerana mahu merasai pengalaman memetik dan memilih buah segar terus dari ladang,” katanya.
Noreha berkata, kaedah jualan terus itu bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan, malah mengurangkan kos orang tengah serta memastikan pengguna memperoleh buah segar.
Katanya, lokasi kebun yang terletak di laluan alternatif orang ramai turut menyumbang kepada peningkatan jualan.
“Jalan kebun ini menjadi laluan orang ramai berikutan laluan dari Pantai Batu Rakit ditutup. Apabila mereka lalu dan nampak kebun tembikai, mereka berhenti dan membeli,” katanya.
Ujarnya, pelanggan yang datang bukan sahaja dalam kalangan penduduk Kampung Mengabang Kapal malah ada dari Seberang Takir, Gong Badak dan Maras. – UTUSAN









