Pengemis Arab ‘tunggang’ nama Palestin

Pengemis Arab ‘tunggang’ nama Palestin

DUA warga asing berwajah Arab aktif menghampiri orang ramai termasuk peniaga gerai di kawasan berkenaan untuk meminta sumbangan wang dan makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemurahan hati rakyat Malaysia, khususnya sepanjang Ramadan menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab apabila terdapat warga asing yang mengambil peluang dengan meminta sedekah dan mengemis di kawasan tumpuan awam.

Malah ada di antara mereka mendakwa berasal dari Palestin bagi meraih simpati orang ramai, menggunakan isu kemanusiaan sebagai modal untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati terdapat wanita warga asing berwajah Arab aktif menghampiri orang ramai termasuk peniaga gerai di kawasan berkenaan untuk meminta sumbangan wang dan makanan.

Wartawan akhbar ini turut dihampiri seorang wanita terbabut yang menolak sebuah stroller bersama seorang kanak-kanak. Dengan nada sayu, dia mendakwa berasal dari Palestin dan memohon sedikit wang untuk berbuka puasa.

Namun apabila wartawan cuba mengajukan beberapa soalan lanjut bagi mendapatkan penjelasan, wanita tersebut dilihat mula berasa curiga sebelum beredar dengan tergesa-gesa.

Pemerhatian lanjut mendapati wanita berkenaan kemudian bersama seorang lelaki yang juga dipercayai berasal dari Asia Barat.

Pasangan itu kemudiannya dilihat meneruskan kegiatan meminta sedekah daripada orang ramai termasuk peniaga gerai di sekitar kawasan tersebut.

Beberapa peniaga di situ yang ditemui memberitahu sering didatangi warga asing tersebut.

Seorang peniaga ayam gunting, Muhammad Aiman Zulkifli, 20, berkata, wanita terbabit juga menggunakan alasan sama untuk meminta wang daripadanya.

“Dia cakap dari Palestin, minta duit untuk berbuka dan untuk anak dia. Sebelum ini pun ada beberapa orang datang, kebanyakannya warga asing,” katanya.

Peniaga air balang, Nur Syuhada Roslan, 36, berkata situasi tersebut bukan perkara baharu terutama sepanjang Ramadan apabila jumlah peminta sedekah dilihat meningkat.

“Memang ramai datang minta duit atau makanan untuk berbuka. Ada yang kata dari luar macam Gaza dan sebagainya. Kadang-kadang rasa kasiahn, kalau mampu kami beri makanan saja,” katanya.

Nur Syuhada bagaimanapun mengakui sukar memastikan kesahihan dakwaan individu terbabit dan berharap pihak berkuasa memantau kawasan itu bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan simpati orang ramai.

Sementara itu, Duta Besar Palestin ke Malaysia, Jehad Fouad Mabrouk Alqedra berkata, mana-mana individu atau pengemis Arab yang mendakwa mempunyai kaitan dengan Palestin
Memang bertindak tanpa kebenaran dan tidak mewakili kerajaan atau rakyat Palestin.

“Kami tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana individu, kumpulan atau entiti untuk menjalankan aktiviti kutipan dana, penjualan barangan atau pengumpulan sumbangan di ruang awam di Malaysia.

“Kami menentang sebarang cubaan oleh mana-mana individu yang secara palsu mendakwa mereka sebagai rakyat Palestin atau mempergunakan perjuangan nasional Palestin untuk kepentingan peribadi atau komersial.

“Perjuangan Palestin merupakan satu perjuangan nasional yang sah, berteraskan maruah, ketabahan dan tuntutan hak, dan tidak wajar disalah tafsir atau dieksploitasi oleh pihak yang bertindak tanpa identiti, hubungan atau kebenaran yang sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, komuniti Palestin di Malaysia dianggarkan sekitar 5,000 orang ketika ini.

Tambah Jehad Fouad, perkara berkaitan permohonan sumbangan awam, aktiviti jalanan dan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan Malaysia adalah terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, kedutaan menghormati bidang kuasa institusi-institusi Malaysia dan bersedia untuk bekerjasama melalui saluran diplomatik yang ditetapkan sekiranya maklumat sahih dikemukakan berhubung individu atau aktiviti tertentu.

“Kami menegaskan semula rasa hormat yang mendalam terhadap rakyat dan institusi Malaysia serta amat menghargai hubungan persaudaraan antara rakyat Palestin dan Malaysia.

“Kedutaan turut merakamkan penghargaan atas solidariti tulen yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap Palestin, yang mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang dikongsi bersama.

“Kedutaan kekal komited untuk melindungi maruah komuniti Palestin, memelihara integriti perjuangan nasional Palestin serta memperkukuh kerjasama yang konstruktif dengan rakan-rakan di Malaysia dalam kerangka undang-undang, diplomasi dan saling menghormati,” katanya.

Dalam pada itu Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), Jismi Johari berkata, Malaysia sememangnya terkenal dengan sifat pemurah dan solidariti tinggi terhadap Palestin.

Namun katanya, isu ini amat sensitif kerana melibatkan aspek kemanusiaan, agama dan sentimen rakyat terhadap Palestin, namun pada masa sama turut menyentuh soal kesahihan, keselamatan awam serta risiko eksploitasi kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN