PETALING JAYA: Pas tidak berputus asa dalam menggesa usaha penyatuan ummah kerana percaya kebenaran akhirnya akan mencapai kemenangan walaupun mengambil masa.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha menghidupkan semula kerjasama politik sedia ada tetap meninggalkan kesan dan parut sekiranya tidak ditangani dengan hikmah.
Katanya, pengalaman menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan hasrat besar untuk menggabungkan tiga parti utama iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membentuk kekuatan politik Melayu-Islam, namun usaha itu tidak berjaya apabila tiada kesepakatan dicapai antara pihak terlibat.
“Dalam situasi semasa, timbul persoalan sama ada masih wujud peluang untuk membentuk satu Payung Besar Melayu-Islam yang mampu menyatukan semua pihak di bawah satu naungan.
“Secara teori, ia tidak mustahil namun secara realiti ia semakin mencabar selagi perpecahan terus melemahkan umat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, pergolakan dan krisis dalaman organisasi bukan sesuatu luar biasa, namun krisis dalam parti politik lebih mudah tersebar kerana parti sentiasa berada dalam perhatian umum.
Katanya, setiap pergolakan wajar ditangani menerusi prinsip penyatuan sebagaimana umat Islam berpegang teguh kepada tali agama Allah dan tidak berpecah-belah.
“Penyatuan berasaskan akidah merupakan asas yang dituntut dalam Islam dan mampu melahirkan ketaatan kepada perintah Allah, sekali gus memberi kebaikan kepada negara berbilang kaum.
“Umat Islam yang berpegang teguh kepada prinsip agama tidak akan menganiayai atau mengenepikan kebajikan kaum lain kerana Islam menetapkan bangsa sebagai ketentuan Allah dan agama dibina atas keyakinan, bukan paksaan,” katanya.
Beliau berkata, umat Islam sudah terlalu lama menyaksikan pertelingkahan politik yang akhirnya merugikan semua pihak, selain tiada mana-mana pihak benar-benar mendapat keuntungan daripada perpecahan.
Katanya, pergolakan dalaman parti lazimnya melahirkan ‘tunas baharu’ yang sama ada terus subur atau layu bergantung kepada kekuatannya sendiri, namun umat terus menanggung kerugian jika perpecahan berlarutan.
“Pas terus mengajak umat ke arah penyatuan dan kebaikan serta tidak meninggalkan tanggungjawab tersebut.
“Di mana ada usaha, di situ ada jalan. Kebenaran mungkin lambat mencapai kemenangan, namun ia pasti tiba. Kebatilan, walaupun kelihatan kukuh, akan tetap runtuh apabila tiba waktunya. Itulah janji Allah yang wajib diyakini,” katanya.
Kata beliau, umat Islam perlu kembali kepada permuafakatan atas dasar Islam dengan mengetepikan kepentingan peribadi dan jawatan kerana jawatan merupakan amanah berat di sisi Allah.
“Tiada yang didambakan di hadapan Baitullah melainkan agar kemelut yang berlaku segera berakhir dan membuka ruang kepada umat untuk bersatu mendepani cabaran besar termasuk menghadapi PRU-16 serta mempertahan asas pembinaan negara yang sedang diuji,” katanya. – UTUSAN










