PETALING JAYA: Pas akan membincangkan kedudukan Ketua Pembangkang ekoran pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan membincangkan kedudukan Ketua Pembangkang itu dalam Biro Parlimennya dalam masa terdekat.
“Namun Pas diminta memberi tumpuan kepada gerak kerja parti bagi memastikan persiapan rapi menghadapi pilihan raya, khususnya Pilihan Raya Negeri Melaka yang dijangka diadakan tahun ini.
“Johor dan Sarawak juga dijangka berdepan pilihan raya negeri pada tahun depan dan PAS berharap seluruh jentera memberi fokus kepada persiapan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau merujuk kenyataan Lembaga Disiplin Bersatu yang mengumumkan pemecatan Hamzah yang juga Timbalan Presiden parti itu atas dakwaan sabotaj dan cubaan menyingkirkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menyifatkan pemecatan Hamzah sebagai satu perkembangan yang mengejutkan dan parti itu berharap kemelut dalaman Bersatu dapat diselesaikan segera demi kestabilan gabungan pembangkang.
“Keputusan Bersatu ini mengejutkan kami dan PAS berharap kemelut dalaman parti itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN










