Muhyiddin tidak lagi sesuai pimpin Bersatu - Khaliq Mehtab

Muhyiddin tidak lagi sesuai pimpin Bersatu – Khaliq Mehtab

KHALIQ MEHTAB MOHD. ISHAQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq menggesa Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berundur bagi memberi laluan kepada individu lain untuk mengemudi parti.

Khaliq berkata, beliau mengakui sumbangan Muhyiddin kepada parti, namun berpandangan bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu tidak lagi sesuai untuk menerajui Bersatu.

Katanya, beliau merupakan antara ahli terawal yang dipanggil menghadap Muhyiddin ketika isu akuan berkanun (SD) mula menjadi perhatian umum.

“Dalam pertemuan empat mata bersama Muhyiddin, saya ditanya mengenai desas-desus sama ada saya telah menandatangani SD berkenaan atau tidak.

“Saya merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai ahli parti yang sayangkan parti serta mahu melihat Bersatu kuat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk berterus terang.

“Tanpa berdolak-dalik, saya mengaku bahawa selepas membaca, memahami dan bersetuju dengan kandungan surat tersebut, saya telah menurunkan tandatangan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khaliq mendakwa, pengakuan tersebut dipercayai menyebabkan Muhyiddin berasa kurang selesa memandangkan beliau merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) lantikan yang sepatutnya menyokong keputusan Presiden parti.

“Apabila ditanya sebabnya, saya berhujah bahawa sudah sampai masanya beliau memberi laluan kepada pengganti untuk menerajui parti.

“Bersatu perlu kekal kuat dan kukuh bagi menghadapi ‘perang’ PRU16 nanti,” katanya.

Khaliq mendakwa, Muhyiddin juga pernah beberapa kali sebelum ini menyatakan hasrat untuk berundur, berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya juga menyatakan bahawa inilah masa paling sesuai untuk beliau melaksanakan pelan peralihan kepimpinan (succession plan) yang telah dibincangkan dan dipersetujui sendiri demi pengukuhan parti.

“Namun, nampaknya Tan Sri Muhyiddin tidak lagi melihat keperluan kepada pelan tersebut dan dengan mudah menyatakan bahawa ‘plans can change’,” katanya.

Mengulas lanjut, Khaliq berkata, walaupun perancangan boleh berubah, pelan peralihan kepimpinan bukanlah satu perancangan biasa.

“Ini merupakan pelan penting bagi memastikan seorang pengganti dapat mengambil alih dan memacu parti ke tahap lebih tinggi.

“Tambahan pula, pengganti yang dicadangkan adalah Ketua Pembangkang Perikatan Nasional. Itu membawa makna yang besar,” katanya.

Beliau mendakwa, SD tersebut tidak menyatakan Muhyiddin perlu berundur serta-merta, sebaliknya menekankan kepentingan penetapan masa yang tepat bagi pelaksanaan pelan peralihan tersebut.

“Muhyiddin juga diberikan ruang dan masa untuk melaksanakan pelan itu.

“Namun memandangkan PRU16 semakin hampir, ditambah pula dengan penglibatan beliau dalam beberapa kes mahkamah yang berpotensi menjejaskan kredibiliti peribadi serta parti, sepatutnya beliau memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Jika kemelut dalaman parti sendiri gagal diselesaikan, apatah lagi untuk memimpin negara menjelang PRU16 nanti,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN