Memadai 10 tahun jadi Perdana Menteri

Memadai 10 tahun jadi Perdana Menteri

Laporan Utusan Malaysia 21 Februari 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh 10 tahun atau dua penggal sebagai Perdana Menteri sudah memadai untuk melaksana dan menilai keberkesanan sesuatu dasar, kata pakar.

Malah, pakar berpandangan, pengehadan tempoh tersebut dilihat mampu mengelakkan sebarang pemusatan kuasa yang boleh berlaku sekiranya seseorang memegang jawatan tertinggi negara terlalu lama.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kesinambungan sesuatu dasar juga tidak akan terjejas memandangkan parti yang memerintah sudah mengetahui tempoh maksimum dan boleh merancang pelan penggantian lebih awal.

Menurutnya, pengehadan tempoh juga berpotensi menggalakkan pengenalan idea-idea baharu yang lebih dinamik melalui kepimpinan generasi seterusnya.

“Sepuluh tahun adalah tempoh yang lama dan mencukupi untuk melaksana dan memperkukuh sesuatu dasar sebelum kepimpinan baharu mengambil alih.

“Dengan adanya had penggal, idea-idea baharu lebih mudah dicetuskan tanpa rasa takut atau kekangan untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, had tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal atau maksimum 10 tahun akan bermula pada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, prinsip tersebut penting bagi memastikan pindaan yang dicadangkan itu tidak dilihat sebagai menyasarkan kepemimpinan akan datang, sebaliknya terpakai kepada kerajaan semasa.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin pula berkata, tempoh 10 tahun sebagai Perdana Menteri mampu mewujudkan tekanan positif kepada kerajaan untuk sentiasa membawa pembaharuan dan melaksana dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, dalam konteks demokrasi matang, rakyat bukan sahaja menilai individu, malah menilai keupayaan parti dalam melahirkan pemimpin yang berupaya memacu pembangunan, menarik pelaburan serta mengekalkan identiti dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, keberkesanan had dua penggal itu bergantung kepada kemampuan parti politik melahirkan barisan kepimpinan yang berwibawa.

“Dalam sistem berasaskan kepartian, parti perlu sentiasa melahirkan pemimpin yang mempunyai wibawa, kompetensi dan kredibiliti untuk memimpin negara,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, had tempoh Perdana Menteri merupakan satu mekanisme yang wajar dilaksanakan memandangkan Malaysia kini berada pada tahap negara membangun.

Menurut beliau, negara-negara jiran juga sudah lama mempraktikkan had dua penggal bagi jawatan tertinggi kerajaan sebagai sebahagian daripada pengukuhan sistem demokrasi.

“Jika seseorang Perdana Menteri memegang jawatan terlalu lama tanpa had tempoh, terdapat kecenderungan untuk berlaku pemusatan kuasa dan penyalahgunaan kuasa yang boleh bercanggah dengan prinsip demokrasi.

“Individu yang terlalu lama berkuasa berpotensi menjadi lebih autokratik, apatah lagi apabila mempunyai pengaruh besar terhadap jentera kerajaan dan sumber kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata, sistem dua penggal juga menjadikan pemimpin lebih berhati-hati dalam pentadbiran kerana menyedari tempoh perkhidmatan mereka adalah terhad.

“Apabila tempoh kepimpinan diketahui, pemimpin akan lebih cenderung merancang dasar secara tersusun. Pada masa sama, selepas tamat tempoh, mereka juga tertakluk kepada proses siasatan atau pendakwaan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya. –utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN