PUTRAJAYA: Malaysia menghargai komitmen tegas dan tidak berbelah bahagi Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam menyokong segala usaha ke arah keamanan global, termasuk berkaitan konflik Ukraine-Russia serta situasi di Timur Tengah dan Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan beliau bersama rakan sejawatannya itu bukan sekadar pertukaran diplomatik rutin, sebaliknya mencerminkan hubungan persahabatan sejati yang dibina atas asas kepercayaan dan persefahaman bersama.
“Mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, saya ingin merakamkan penghargaan mendalam atas perbincangan bersama Perdana Menteri, Modi.
“Ia merupakan pertemuan antara sahabat sejati dan saya amat menghargai komitmen beliau yang tegas dalam menyokong usaha ke arah keamanan global sama ada berkaitan konflik Ukraine-Russia mahupun situasi di Timur Tengah dan Palestin,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Sebagai cerminan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara, Anwar berkata, Malaysia turut bersetuju menyokong keputusan Kerajaan India untuk membuka sebuah Konsulat India di Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, bidang pendidikan kekal sebagai salah satu tonggak utama kerjasama Malaysia–India.
Katanya, ramai rakyat Malaysia telah menerima latihan dan pendidikan di India, manakala bilangan pelajar India yang melanjutkan pengajian di Malaysia turut menunjukkan peningkatan.
Menurut Anwar, sepanjang sedekad lalu, India mencatat kemajuan luar biasa dalam pembangunan pusat kecemerlangan dan institusi pendidikan di bawah kepimpinan Modi, dengan banyak institusi kini menerima pengiktirafan global setanding, malah ada yang mengatasi institusi ternama di Barat.
“Malaysia berhasrat untuk meningkatkan bilangan pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang khusus di India,” katanya.
Anwar turut menyifatkan sektor pelancongan sebagai satu lagi bidang yang wajar diberikan penekanan lebih besar, susulan peningkatan ketara aliran pelancong antara kedua-dua negara sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, Malaysia berharap dapat terus meraih manfaat melalui peningkatan keterhubungan serantau di seluruh Asia, di samping inisiatif ‘Incredible India’ yang disokong oleh dasar lebih liberal serta penambahan sambungan penerbangan.
Mengimbau pengalamannya, Anwar berkata beliau telah mengunjungi India lebih daripada sedozen kali dan melawat ratusan lokasi, namun masih merasakan belum sepenuhnya menerokai negara yang luas dan luar biasa itu.
“Kekayaan budaya, seni dan warisan India, digabungkan dengan kemajuan teknologi yang pesat, menjadikan negara ini benar-benar mengagumkan,” katanya. -UTUSAN









