GOPENG: Lambakan buah tembikai sepanjang Ramadan menyebabkan harganya jatuh sehingga RM2 sekilogram bagi gred A berbanding RM3 hingga RM4 sebelum ini.
Seorang peniaga tembikai, Muhammad Danish Norazli, 22, berkata, situasi itu berlaku susulan peningkatan mendadak bekalan di pasaran walaupun permintaan tinggi dalam kalangan pengguna.
Menurutnya, tembikai sememangnya mendapat sambutan setiap kali Ramadan, terutama ketika cuaca panas kerana menjadi pilihan utama untuk berbuka puasa.
“Permintaan memang tinggi semasa Ramadan, apatah lagi ketika cuaca panas. Permintaan tinggi menyebabkan lambakan dan harga terpaksa diturunkan.
“Jualan pada hari biasa tidak sebanyak jualan semasa Ramadan. Buah cepat habis, namun harga perlu diturunkan kerana bekalan terlalu banyak,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, tembikai antara buah paling laris kerana selain dimakan segar, ia turut dijadikan air tembikai untuk menghilangkan dahaga selepas seharian berpuasa.
Menurut Muhammad Danish, bekalan tembikai diperoleh dari Perlis yang terkenal dengan penghasilan buah berkualiti tinggi.
Berdasarkan permintaan semasa, beliau menjangkakan mampu menjual kira-kira 15 tan tembikai dalam tempoh dua minggu sepanjang Ramadan.
“Harga bergantung kepada bekalan. Jika terlalu banyak, harga akan turun. Pernah sebelum ini RM1 sekilogram disebabkan lambakan.
“Kami terpaksa turunkan harga untuk tarik pelanggan kerana buah yang lama disimpan boleh rosak,” katanya.
Walaupun harga menurun, jualan yang rancak sepanjang Ramadan membantu peniaga mengurangkan kerugian akibat lambakan bekalan.
Beliau menjangkakan tembikai akan terus menjadi pilihan ramai sepanjang Ramadan kerana rasanya yang manis, menyegarkan dan sesuai dinikmati ketika berbuka puasa. – UTUSAN










