Kerjasama ELMU tandatangani tiga MoU perkukuh pendidikan tinggi

Kerjasama ELMU tandatangani tiga MoU perkukuh pendidikan tinggi

Hairul Ridza Hayata (dua dari kiri) dan Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM, Prof. Dr. Amer Shakir Zainol (dua dari kanan) menunjukkan dokumen MoU yang mereka tandatangani di Bandar Enstek baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan industri adalah kunci untuk memastikan program akademik sentiasa relevan, praktikal dan bersesuaian dengan keperluan dunia sebenar.

Naib Canselor Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed, berkata, bahawa penglibatan pihak industri membantu memastikan inisiatif akademik dipandu oleh amalan profesional semasa, realiti perundangan dan perspektif antarabangsa.

“Ini secara langsung mengukuhkan kerelevanan program, menyokong penyelidikan gunaan, serta meningkatkan kebolehpasaran dan tahap kesiapsiagaan graduan dan profesional,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) antara ELMU dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Starway International Sdn. Bhd., dan Quad Destiny Holdings Berhad, yang diadakan di Bandar Enstek baru-baru ini.

Dalam majlis itu ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ELMU, Datuk’ Hairul Ridza Hayata.

MoU antara ELMU dan UiTM ditandatangani oleh Kassim yang diwakili oleh Hairul, manakala UiTM diwakili oleh Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa), Prof. Dr. Amer Shakir Zainol bagi pihak Naib Canselornya.

Bagi Starway International, MoU ditandatangani oleh Pengerusinya, Tan Sri Liow Tiong Lai, manakala Quad Destiny Holdings Berhad diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ahmad Tarmizi Mukhtar.

Mengulas lanjut, Datuk Kassim berkata bahawa fokus ELMU adalah kepada kecemerlangan penguatkuasaan, pembangunan kepimpinan, pemerkasaan tadbir urus dan keupayaan pengurusan.

“Kami melatih individu untuk beroperasi dalam sistem kompleks, melaksanakan autoriti secara bertanggungjawab serta membuat keputusan yang membawa implikasi undang-undang, etika dan organisasi. Kejayaan institusi bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah pendaftaran, tetapi melalui tahap kompetensi, integriti, dan keberkesanan graduan yang kami lahirkan,” katanya.

Sementara itu, Amer Shakir berkata, kepakaran Fakulti Undang-Undang UiTM dalam bidang undang-undang, tadbir urus, dan rangka kerja kawal selia akan memainkan peranan penting dalam menjayakan MoU tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×