KUALA NERUS: Hampir 100 ahli sebuah keluarga di Kampung Tiang Kulat di sini, mengambil peluang cuti panjang bersempena musim perayaan dan persekolahan untuk berkumpul serta berbuka puasa bersama pada awal Ramadan.
Bagi keluarga Zainab Mat Ali dan Mat Zin Abdullah (ZMZ), suasana berbuka puasa beramai-ramai pada awal Ramadan merupakan detik yang jarang dinikmati kerana kebiasaannya masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan komitmen harian.
Bagi Surhaini Mohd Saidi, 47, yang menetap di Melaka, peluang berbuka puasa di kampung pada minggu pertama Ramadan bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh.
Katanya, sudah lebih lima tahun dia tidak berkesempatan berbuka bersama keluarga pada awal Ramadan kerana kekangan kerja dan hanya pulang ketika hampir menjelang Aidilfitri.
“Tahun ini kebetulan cuti agak panjang dan anak-anak pun cuti sekolah. Jadi kami sepakat balik kampung lebih awal. Memang jarang dapat peluang macam ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Menurut Surhaini, pengalaman berbuka beramai-ramai bersama keluarga besar memberi keterujaan berbeza khususnya buat anak-anak yang jarang bertemu saudara-mara mereka.
“Anak-anak seronok sebab dapat berkumpul dan lebih mengenali saudara-mara. Biasanya jumpa pun hanya pada Hari Raya Aidilfitri dan sekejap sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Mazlan Chik @ Jusoh, 50, berkata, komitmennya sebagai pendidik menyebabkannya sukar meluangkan masa pulang ke kampung pada awal Ramadan walaupun menetap di Kemaman.
Katanya, lazimnya keluarga besar tersebut merancang majlis berbuka puasa pada hujung Ramadan apabila masing-masing sudah mula mengambil cuti.
“Selalunya kami berkumpul hujung Ramadan tetapi tahun ini kami ubah. Apabila cuti sekolah dan cuti panjang serentak, memang sesuai untuk atur pertemuan lebih awal,” katanya.
Seorang lagi ahli keluarga, Fitriah Adibah Zaid, 35, dari Temerloh, Pahang, menyifatkan Ramadan kali ini antara yang paling bermakna buat dirinya bersama tiga anak.
Katanya, peluang untuk pulang ke kampung pada awal puasa jarang berlaku, namun cuti panjang kali ini memberi ruang untuk mereka meluangkan masa lebih lama bersama keluarga besar.
“Tahun ini paling seronok sebab berpeluang balik awal. Anak-anak pun teruja dapat berbuka bersama saudara-mara sepanjang cuti,” ujarnya. – UTUSAN










