Kedah kembali panas, tiga daerah catat 37 darjah Celsius

Kedah kembali panas, tiga daerah catat 37 darjah Celsius

PENIAGA, Mahadi Hasan menerima permintaan tinggi untuk jualan air tebu sempena Ramadan berikutan musim panas yang melanda negeri ini di Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cuaca di Kedah kembali panas dengan tiga daerah iaitu Pokok Sena, Baling dan Bandar Baharu mencatatkan suhu sehingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Pengarah Meteorologi Malaysia Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, cuaca panas itu bagaimanapun dijangka tidak berpanjangan berikutan Semenanjung Malaysia kini menerima tiupan angin baratan.

“Keadaan ini dijangka tidak berlarutan kerana Semenanjung Malaysia menerima tiupan angin baratan dan ribut petir serta hujan lebat diramalkan berlaku di negeri pantai barat Semenanjung termasuk Kedah pada sebelah petang hingga awal malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cuaca panas ini terjadi walaupun berlaku taburan hujan sebelum ini kerana kita memasuki fasa peralihan monsun. Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangkakan berakhir dengan peralihan monsun menjelang Mac dan April sebelum memasuki Monsun Barat Daya pada Mei,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sempena Ramadan ini, kata beliau, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan masing-masing ekoran cuaca panas pada tahap berjaga-jaga di daerah tersebut.

“Melihat kepada peta cuaca Kedah akan dilanda ribut petir dan hujan sehari dua ini. Ia dijangka meredakan sedikit cuaca panas itu,” ujarnya.

Sementara itu, seorang jurulatih pemakanan, Wan Anuar Wan Mahadzir berkata, pengambilan air yang mencukupi dari waktu berbuka hingga sahur amat penting bagi mengelak dehidrasi terutama ketika cuaca panas sewaktu berpuasa.

“Mulakan berbuka dengan air kosong sebelum hidangan utama selain kawal pengambilan makanan atau minuman manis termasuk berkafein kerana itu yang mengakibatkan kita cepat haus dan keletihan.

“Sasarkan dua hingga tiga liter semalaman. Tetapi minum secara konsisten jangan sekali gus, paling strategik satu gelas setiap 30 hingga 60 minit dari Maghrib hingga sebelum tidur.

“Selain itu elakkan berada di bawah matahari untuk waktu yang panjang sebaliknya guna payung atau topi untuk kurangkan risiko strok haba,” katanya. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini