KUALA NERUS: Hanya dalam tempoh satu jam, sebanyak 50 kilogram (kg) nasi beriani yang dijual di Kampung Wakaf Tengah di sini, habis dijual setiap hari kerana keenakan dan keistimewaan rasanya.
Peniaga, Julia Farah Mazura Abdullah, 39, berkata, jualan bermula pada pukul 3 petang menggunakan resipi warisan Allahyarham bapanya yang berdarah Pakistan, Abdullah Abdul Kadir.
“Saya hanya menjual nasi beriani pada Ramadan dan sudah empat tahun menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Malah, saya juga sering menerima tempahan daripada pelanggan tetap,” katanya ketika ditemui.
Julia Farah Mazura berkata, harga yang ditawarkan adalah berpatutan bermula daripada RM12 bagi hidangan biasa manakala set talam antara RM75 hingga RM155 yang boleh dinikmati empat hingga lima orang.
Katanya, setiap set talam dihidang lengkap dengan lauk ayam goreng berempah, kurma kambing dan betis kambing (lamb shank) masak merah yang menjadi antara tarikan utama pelanggan.
Ujarnya, dia mula memasak pukul 9 pagi bagi memastikan semua menu siap pada waktunya dengan dibantu lima pekerja.
“Saya memasak pada waktu pagi kerana proses penyediaannya agak rumit dan memerlukan ketelitian supaya rasa dan kualiti nasi beriani terjamin. Biasanya sebelum pukul 3 petang lagi sudah ada pelanggan yang menunggu di tapak jualan,” katanya. – UTUSAN










