KANGAR: Hasil padi Perlis dijangka merosot sehingga 40 peratus atau sehingga 3,240 tan metrik kesan daripada cuaca panas yang berlarutan hampir dua bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, sawah yang terjejas itu melibatkan kawasan seluas 770 hektar di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini.
Katanya, kawasan terjejas membabitkan 771 pesawah itu tidak dapat menerima bekalan air berikutan sumber dari empangan Timah Tasoh sudah tidak mampu melepaskan air.
“Ada kawasan yang kita dapat selamatkan melalui langkah-langkah yang dilaksanakan seperti penyediaan pam air dan sebagainya. Kawasan yang tidak dapat diselamatkan, pesawah yang terkesan itu boleh memohon skim takaful tanaman padi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, media melaporkan, sebanyak tujuh kawasan di semenanjung Malaysia kini berada pada tahap 1 (berjaga-jaga) susulan peningkatan suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Jabatan Pertanian negeri dan agensi berkaitan sebelum ini telah mengambil langkah awal menggerakkan pegawai kawasan agen pengembangan tanaman antaranya menyediakan pam sebanyak 39 unit.
Perlis menjadi negeri yang merekodkan jumlah hari tanpa hujan tertinggi iaitu melebihi 40 hari dengan cuaca panas dan kering terus berlarutan dijangka sehingga Mac. Bagaimanapun, kebelakangan ini Perlis mula menerima taburan hujan dengan kelmarin antara paling lebat.
Megat Hashirat berkata, pada masa ini, sebahagian besar kawasan di Perlis sudah mula menuai padi.
“Kita masih bergantung kepada keadaan semasa dan kelmarin hujan sudah mula turun dengan lebat di Perlis,” katanya.-UTUSAN











