JOHOR BAHRU: Keharmonian antara kaum di negara ini tidak boleh dibina dengan menggadaikan maruah Islam kerana tiada masyarakat bertamadun membenarkan kitab sucinya dipijak atas nama kebebasan.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, pihak berkuasa didesak mengambil tindakan tegas secara menyeluruh berhubung insiden seorang lelaki bukan Islam memijak Al-Quran, baru-baru ini.
Katanya, kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan berlaku lebih banyak provokasi lebih berani pada masa depan.
“Al-Quran bagi umat Islam bukan simbol budaya, tetapi wahyu suci. Maka tindakan memijaknya bukan isu sensitiviti semata-mata, tetapi satu provokasi yang disengajakan dan melampau.
“Tindakan itu satu penghinaan terbuka terhadap agama Persekutuan, mencabar kesabaran umat Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan masyarakat apatah lagi dilakukan ketika Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mahfodz, kerajaan tidak boleh menganggap perbuatan sebegini sebagai kes terpencil atau kesilapan kecil.
“Toleransi bermaksud saling menghormati, bukan membiarkan penghinaan berlaku tanpa hukuman. Keharmonian tidak akan terjamin jika maruah agama digadai atas nama kebebasan atau persefahaman.
“Sebarang cadangan supaya pelaku hanya dinasihati atau diberikan pendidikan semula adalah pendekatan tidak bertanggungjawab kerana memberi mesej bahawa penghinaan agama boleh dilakukan tanpa tindakan tegas,” katanya.
Kelmarin tular di media sosial gambar kaki seorang lelaki dewasa sedang memijak Al-Quran dan tangkap layar hantaran individu yang didakwa sebagai seorang penuntut sebuah universiti di Pahang.
Semalam, Menteri Hal Ehwal Agama, Dr. Zulkifli Hasan dilaporkan berkata pihaknya mengambil pendekatan damai dan mengikut lunas undang-undang bagi menyelesaikan perkara tersebut. – UTUSAN









