PETALING JAYA: Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dijangka memerlukan 100 bot bagi melaksanakan misi mereka yang dijadual bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Zulkefli berkata, kos pembelian bot terbabit adalah hasil sumbangan dan penajaan daripada pelbagai pihak.
Katanya, sumbangan adalah daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu yang berminat menyokong misi kemanusiaan berkenaan.
“Semua dana yang diterima digunakan sepenuhnya untuk pembelian bot dan kelengkapan lain bagi memastikan misi GSF 2.0 dapat dijalankan dengan lancar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya berkenaan penganjuran Konvoi Darat Asia, Haikal menyatakan bahawa perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan.
Katanya, sebarang ulasan berkenaan perkara tersebut masih belum boleh dinyatakan secara rasmi.
“Apa yang saya boleh nyatakan adalah, perbezaannya hanya pada laluan. Konvoi Darat Asia akan bekerjasama dengan GSF 2.0 bagi menggerakkan misi kemanusiaan terbesar tahun ini dan memberi tekanan kuat kepada Israel.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat kongsikan butiran lanjut kerana perkara masih dalam perbincangan,” katanya.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, Seramai 800 individu telah disenarai pendek untuk menyertai GSF 2.0
Haikal berkata, saringan itu setelah pihaknya menerima hampir 3,000 permohonan usai pendaftaran dibuka bulan lalu.











