KOTA KINABALU: Satu gempa bumi kuat dengan magnitud 6.8 dilaporkan berlaku di perairan berhampiran Kota Kinabalu, Sabah sekitar jam 12.57 pagi tadi.
Berdasarkan kenyataan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), gempa terbabit dikesan pada koordinat 7.0 darjah utara dan 116.4 darjah timur, dengan kedalaman 678 kilometer, kira-kira 49 kilometer (KM) ke barat Kudat.
MET Malaysia memaklumkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Sabah, Sarawak, serta beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia.
“Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan kepada Malaysia susulan kejadian itu.
“MET Malaysia akan terus memantau perkembangan dan keadaan seismik dari semasa ke semasa,” jelas dalam kenyataan terbabit.
Seorang penduduk di Kepayan, Noraini Jamin, 50, ketika dihubungi berkata beliau terjaga daripada tidur apabila merasakan seperti ada gegaran di sekitar kediamannya di apartmen, di sini.
“Saya terjaga sekitar pukul satu pagi apabila terasa seperti ada gegaran dalam tempoh 10 saat.
“Gegaran saya rasakan tadi mengingatkan saya dengan kejadian gempa bumi tahun 2015.
“Selepas gegaran itu, saya keluar daripada rumah dan melihat ada beberapa orang jiran dibangunan apartmen saya tinggal juga keluar meninjau keadaan sekeliling.
” Walau bagaimanapun, keadaan masih terkawal,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk di Putatan, Nuralieya Marzuki, 28, berkata sekitar kejadian gegaran itu, beliau terjaga daripada tidur dan beranggapan hanya merasa pening.
“Namun suasana dalam rumah kecoh seketika apabila semua ahli keluarga keluar daripada bilik ketika gegaran itu.
“Walau bagaimanapun, kami bersyukur gegaran itu hanya berlaku dalam tempoh sekejap saja,” katanya. – UTUSAN










