PETALING JAYA: Anugerah Enterprise 50 (E50) kembali dianjurkan tahun ini dengan fokus kepada pemerkasaan eksport dan jaringan perniagaan global dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Anugerah dengan tema ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, semalam.
SME Corporation Malaysia (SMECorp) dalam kenyataan berkata, penganjuran dengan pendekatan lebih dinamik itu selaras usaha memperkukuh daya saing PMKS tempatan di peringkat antarabangsa.
Katanya, program tersebut merangkumi persidangan eksport serta sesi padanan perniagaan bagi membuka peluang kerjasama strategik, memperluas rangkaian perdagangan dan membantu syarikat tempatan menembusi pasaran global.
“Persidangan Eksport E50 ini akan menjadi platform bagi membincangkan bukan sahaja mengenai isu dan cabaran untuk menembusi pasaran eksport, tetapi juga menjadi medan penerokaan peluang baharu pasaran eksport.
“Usaha ini seterusnya akan disambut oleh Sesi Padanan Perniagaan E50 yang akan membawa pembeli dari luar dan dalam negara untuk memperluas rantaian bekalan syarikat E50,” katanya dalam kenyataan.
Tambah kenyataan itu, pembaharuan itu selaras dengan strategi ABCD merangkumi anjakan produktiviti (A), birokrasi dipermudah (B), capaian modal (C) dan daya akses pasaran (D), terutama dalam memperluas peluang pasaran usahawan tempatan.
Pencalonan E50 kini dibuka kepada syarikat yang memperoleh penarafan empat atau lima bintang di bawah Program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) dan akan berlangsung sehingga 31 Julai ini.
Anugerah E50 dijadual berlangsung pada Oktober, dengan penyertaan tertakluk kepada beberapa syarat termasuk status PMKS tempatan, tidak tersenarai di Bursa Malaysia serta mempunyai rekod kewangan beraudit bagi tiga tahun terkini. – UTUSAN










