KUALA LUMPUR: Dua suspek terlibat dalam insiden tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, kelmarin telah ditahan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, tangkapan itu telah dibuat dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.
Katanya, kerajaan kekal memberi keutamaan kepada jaminan keselamatan di pintu sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman.
“Insiden yang berlaku semalam (kelmarin) di Bukit Kayu Hitam adalah satu insiden yang amat kita kesali. Namun kita bersyukur kerana komander AKPS tersebut selamat ketika keluar awal pagi untuk menunaikan solat Subuh dan tembakan hanya mengenai kenderaannya.
“Kami telah membuat tangkapan dalam tempoh tidak sampai 24 jam dan kini sedang menjalankan proses siasatan,” katanya ketika soalan tambahan Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang) susulan kes tembakan itu.
Kelmarin, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir nyaris maut selepas diserang dua lelaki berpistol dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi kelmarin.
Saifuddin berkata, kerajaan juga akan terus mempertingkat segala usaha bagi memastikan keselamatan agensi yang bertugas di pintu sempadan negara, meskipun berdepan pelbagai bentuk ancaman keselamatan.
“Saya ingin menyatakan bahawa jaminan keselamatan sempadan adalah keutamaan kerajaan.
“Segala usaha akan dipertingkat bagi memastikan agensi yang bertanggungjawab dapat menjalankan tugas dengan selamat,” katanya.-UTUSAN











