KUANTAN: Seorang penyewa warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didudukinya hampir 20 tahun musnah dalam kebakaran di Perkampungan Bukit Ubi, Jalan Dato Lim Hoe Lek, di sini, malam tadi.
Warga emas terbabit, Iskandar Quek Meng Cheng, 63, tiada di rumah kerana bekerja di sebuah pasar raya berhampiran dalam kejadian kira-kira pukul 11.37 malam itu, dua buah rumah di alamat C6 dan C6B musnah terbakar sepenuhnya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui panggilan MERS 999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati rumah beralamat C6 tidak berpenghuni manakala rumah C6B disewa oleh seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang tinggal seorang diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi serta Indera Mahkota melibatkan seorang pegawai dan 12 anggota bersama dua jentera FRT, sebuah jentera tangki air serta sebuah EMRS telah digerakkan ke lokasi. – UTUSAN











