11,597 hektar tanah wakaf terbiar - Utusan Malaysia

11,597 hektar tanah wakaf terbiar

UNIVERSITI Al-Azhar antara bukti hasil pengurusan dana wakaf yang berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekangan perundangan dan birokrasi menjadi antara punca utama seba­nyak 11,597 hektar tanah wakaf bernilai kira-kira RM3 bilion di seluruh negara gagal dibangunkan dan tidak dapat dimanfaatkan umat Islam.

Kira-kira 6,500 lot tanah itu terletak antaranya di Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Selangor dan Melaka yang berpotensi dibangunkan sebagai perumahan, sekolah agama, masjid dan pusat komersial bagi menjana ekonomi.

Kegagalan memanfaatkan ta­nah wakaf berpotensi menye­babkannya diceroboh atau digunakan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), Prof. Dr. Ismail Omar berkata, kelemahan pengurusan tanah wakaf berpunca atas beberapa faktor termasuk kekangan kewangan, birokrasi dan ketiadaan perancangan pembangunan jangka panjang.

ISMAIL OMAR

Katanya, perancangan pembangunan perlu diselaraskan mengikut negeri dan daerah menerusi pelan transformasi yang jelas bagi mengenal pasti tanah yang bersedia untuk dibangunkan serta bentuk pembangunan bersesuaian.

Katanya, pendekatan itu membolehkan tanah wakaf yang mempunyai potensi dikenal pasti lebih awal bagi memudahkan perancangan pembiayaan dan pelaksanaan projek.

“Kita sebelum ini ada membuat kajian dan mengenal pasti lokasi-lokasi tanah wakaf yang boleh dibangunkan untuk tujuan ekonomi, sosial dan pendidikan. Namun, masih gagal dibangunkan akibat kekangan modal dan isu perundangan.

“Faktor penghalang pembangunan berbeza mengikut ciri-ciri hartanah berkenaan, malah ada tanah wakaf yang mengambil masa lebih 100 tahun untuk dibangunkan selepas diwakafkan. Antara contoh ialah Wakaf Seetee Aisah di Pulau Pinang dan Imarah Wakaf di Kuala Lumpur.

“Sudah tentu apabila tidak dimajukan, nilai ekonomi terencat dan dengan kadar perlahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ismail berkata, kerajaan perlu meneliti keperluan mewujudkan akta khusus berkaitan wakaf di peringkat Persekutuan bagi membantu memperkukuh pengurusan dan pembangunan aset berkenaan.

Ujarnya, ketika ini urusan wakaf tertakluk kepada enakmen negeri masing-masing.

Katanya, justeru, satu kerangka perundangan lebih menyeluruh boleh membantu menyelaraskan aspek pengurusan tanpa mengambil alih bidang kuasa negeri dan majlis agama Islam negeri.

“Sudah tiba masanya kerajaan meneliti keperluan mewujudkan akta khusus berkaitan wakaf di peringkat Persekutuan bagi membantu memperkukuh pengurusan dan pembangunan aset berkenaan.

“Mengambil contoh di Pulau Pinang apabila terdapat pertikaian berkaitan tanah wakaf yang dibawa ke mahkamah, termasuk membabitkan tanah yang diwakafkan ketika zaman pemerintahan Hindia Timur,” katanya.

Menurutnya, perbezaan ke­rangka perundangan yang terpakai ketika tanah berke­naan diwakafkan dengan peruntukan undang-undang semasa menimbulkan cabaran dalam usaha mempertahankan kepentingan aset wakaf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini