CCTV pantau pembuangan sampah haram di jalan lama Bukit Putus

CCTV pantau pembuangan sampah haram di jalan lama Bukit Putus

KEADAAN sampah yang dibuang di tepi jalan yang dilihat Ketika tinjauan di Jalan Lama Bukit Putus di Seremban baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jalan Bukit Putus lama di sini yang sering dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah haram akan dipantau melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) termasuk jenis mudah alih.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan individu yang membuang sampah secara haram dapat dikenal pasti untuk diambil tindakan.

Menurutnya, selain CCTV statik, pihak berkuasa turut menggunakan CCTV jenis mudah alih yang boleh dipindahkan mengikut kawasan tumpuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kawasan itu sunyi dan kurang dilalui, itu disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk membuang sampah. Jadi, kita akan memasang CCTV termasuk jenis mobile di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot.

“Langkah ini sebenarnya telah dilaksanakan sebelum ini di beberapa tapak pelupusan sampah haram termasuk di Nilai bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis SWM Kasih Santun Ramadan dan Iftar di sini semalam.

Sebelum ini Mingguan Malaysia melaporkan isu tempat pembuangan sampah haram terus membelenggu kawasan sekitar jalan lama Bukit Putus.

Tinjauan dibuat mendapati antara sampah dibuang termasuklah tayar dan perabot yang sudah
rosak selain sisa makanan.

Arul Kumar dalam pada itu berkata, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan melalui kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp) dan syarikat konsesi, SWM Environment Sdn.Bhd bagi membendung kegiatan tersebut.

“Pembuangan sampah di mana-mana lokasi awam adalah dilarang dan pesalah boleh dikenakan denda sehingaa RM 2,000 serta diarahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini